Risiko hipotermia antara cabaran ditempuhi anggota penyelamat mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
BEAUFORT: Pasukan bomba berdepan risiko mengalami hipotermia akibat kesejukan melampau kerana berada terlalu lama dalam air ketika menjalankan operasi menyelamatkan mangsa banjir besar yang sedang melanda Beaufort.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok, berkata usaha memindahkan mangsa banjir di daerah ini giat dijalankan sejak Jumaat lalu.
Katanya, kekuatan anggota dari BBP itu ialah seramai 36 orang dengan dibantu pasukan dari Kota Kinabalu, Penampang, Lintas, Putatan, Kuala Penyu dan Sipitang, di samping pelbagai agensi lain.
Beliau berkata, proses pemindahan itu membabitkan mangsa dari 24 kampung yang terjejas banjir, termasuk Kampung Cina, Balibata, Bakalau, Bingkul, Lumatai, Muhibbah Baru, Lupak, Batu 60, Batandok, Lago dan Padas Baru.
Selain itu, Beaufort Selatan, Selagon, Taman Muhibbah, Kampung Padas Valley, Luagan, Kubu, Mempagar, Bangkalalak, Suasa, Lubak, Pintas, Lumadan dan Jaya Baru.
"Cabaran ditempuhi semua agensi terbabit ialah arus deras menyukarkan bot penyelamat, selain jalan tidak mempunyai pancang tepi menyukarkan lori penyelamat untuk mengagak laluan ketika digenangi air
"Malah, ada risiko hipotermia akibat kesejukan melampau kerana berada terlalu lama dalam air," katanya ketika dihubungi, semalam.
Bagaimanapun setakat ini, beliau berkata, proses pemindahan mangsa banjir berjalan lancar dan penduduk di kawasan rendah turut dinasihatkan supaya berpindah lebih awal.
"Kita juga meminta mangsa banjir bertenang dalam proses pemindahan kerana terlalu ramai dan ia agak menyukarkan pasukan keselamatan untuk segera ke lokasi mereka," katanya.