PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Bazar Ramadan: Peniaga di Beaufort terjejas, tapak ditenggelami banjir

Bazar Ramadan: Peniaga di Beaufort terjejas, tapak ditenggelami banjir

BEAUFORT - Belum seminggu memulakan perniagaan di bazar Ramadan, hampir 100 peniaga di sini terpaksa menanggung kerugian akibat banjir teruk melanda di daerah ini.

Keadaan itu dikongsikan sendiri oleh peniaga menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok, yang menunjukkan keadaan tapak Tamu Beaufort lokasi mereka berniaga sejak 1 Ramadan lalu kini ditenggelami air.

 

Menurut salah seorang peniaga, air kini mencecah kira-kira 1.2 meter menyebabkan mereka tidak dapat beroperasi sejak tiga hari lalu.

"Ada peniaga yang baru membeli peralatan baharu untuk berniaga, tetapi semuanya rosak ditenggelami air. Meja, kanopi, malah tong gas juga ada hanyut dibawa arus.

"Paras air ketika ini menghampiri paras pinggang dan keadaan air masih bertahan," katanya ketika meninjau keadaan di sekitar Pekan Beaufort menggunakan perahu pada Isnin.

Banjir yang melanda bukan sahaja menjejaskan punca pendapatan peniaga, malah turut menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dan kerosakan harta benda.

"Kasihan kami belum dapat balik modal tetapi sudah berhadapan dengan ujian ini. Apa boleh buat bencana alam berlaku," keluhnya.

Sejak beberapa hari lalu, penduduk di Beaufort dilanda banjir masing-masing menggunakan platform TikTok melaporkan situasi terkini keadaan di daerah itu.

Siaran 'live' tersebut sohor dan mendapat respons daripada rakyat Sabah sendiri yang turut bersimpati keadaan menimpa penduduk di daerah itu.

Malah ada sebahagian penduduk yang jauh dari kampung halaman dapat melihat sendiri keadaan semasa banjir termasuk meminta bantuan ahli keluarga yang terperangkap untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat jam 2 petang Isnin, seramai 4,279 penduduk di lima daerah terjejas akibat banjir yang dipindahkan ke PPS yang dibuka sejak beberapa hari lalu.

Jumlah itu melibatkan 1,411 ketua isi rumah (KIR) yang berada di Beaufort, Membakut, Keningau, Sook dan Tenom.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search