PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

ASEAN perlu bekerjasama tangani kesan perubahan iklim dan risiko bencana – ESCAP

ASEAN perlu bekerjasama tangani kesan perubahan iklim dan risiko bencana – ESCAP

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (ESCAP) menggesa ASEAN menggunakan pendekatan yang lebih bersepadu dalam menangani perubahan iklim, memberi amaran bahawa bencana berkaitan iklim yang semakin buruk boleh mengancam kestabilan ekonomi dan sosial di rantau ini.

Bercakap dalam temu bual bersama Bernama di sini, Setiausaha Agung Rendah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merangkap Setiausaha Eksekutif ESCAP, Armida Salsiah Alisjahbana berkata kekerapan dan intensiti bencana alam seperti banjir, kemarau dan suhu melampau semakin meningkat akibat perubahan iklim.

“Kita sedang menyaksikan satu trend yang membimbangkan—bencana iklim semakin kerap dan semakin teruk, sekali gus memburukkan lagi kerentanan ekonomi. Ini bukan lagi sekadar isu alam sekitar; ia telah menjadi krisis ekonomi dan kemanusiaan,” katanya.

Alisjahbana berada di Malaysia bagi lawatan kerja selama dua hari bermula 17 Feb 2025, dan beliau mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming serta Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi, Datuk V Valluvan.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa negara-negara ASEAN perlu memperhebat usaha mitigasi dan adaptasi iklim, terutamanya dalam mengurangkan pelepasan karbon serta memperkukuh daya tahan terhadap bencana.

“Perkara ini tidak boleh dilakukan secara berasingan. ASEAN mesti bertindak secara kolektif untuk membina masa depan yang berdaya tahan terhadap iklim dengan mengintegrasikan tindakan iklim ke dalam perancangan ekonomi, perdagangan dan pembangunan infrastruktur,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa ESCAP kini bekerjasama rapat dengan negara-negara ASEAN dalam mempromosikan dasar yang menyepadukan pertimbangan iklim ke dalam strategi pembangunan serantau.

Alisjahbana turut menekankan peranan Malaysia dalam mempelopori tenaga boleh diperbaharui, khususnya menerusi Grid Kuasa ASEAN.

“Peranan Malaysia dalam mempromosikan tenaga boleh diperbaharui dalam ASEAN sangat dipuji. Pengembangan Grid Kuasa ASEAN akan membantu mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil,” katanya.

Beliau juga menyeru tindakan kolektif ASEAN dalam kesiapsiagaan bencana dan pembiayaan iklim, sambil menggesa pemimpin serantau membangunkan kerangka kukuh untuk menarik pelaburan lestari.

“ASEAN mempunyai potensi untuk menjadi peneraju dalam tindakan iklim, tetapi ia perlu bergerak melangkaui perbincangan dan melaksanakan tindakan tegas.

“Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang akan menjadi detik penting bagi rantau ini menunjukkan komitmen terhadap daya tahan iklim,” katanya.

Dengan pemimpin ASEAN bakal membincangkan dasar iklim serantau, ESCAP berharap Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN akan memperjuangkan komitmen yang lebih kukuh dan tindakan konkrit dalam tadbir urus iklim.

“Kami yakin dengan keupayaan Malaysia untuk memacu agenda iklim ASEAN ke hadapan. Kini adalah masanya untuk bertindak dan kepimpinan Malaysia akan menjadi elemen penting dalam menentukan hala tuju rantau ini,” katanya. -TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search