Kelantan dijangka alami musim kemarau awal - Bomba
- Admin UKK
- Berita
KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan apabila negeri ini dijangka mengalami musim kemarau lebih awal.
Pengarah JBPM negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, berdasarkan statistik tahun 2023 dan 2024, pembakaran terbuka meningkat hampir 40 peratus.
"Kalau ikut daripada pusingan, kita belum lagi tempoh peralihan monsun kerana ia bermula Mac ini, tetapi saya yakin di Kelantan ia lebih awal.
"Kerana berdasarkan Monsun Timur Laut yang awal berlaku. Kita yakin kemungkinan awal bulan Mac akan bermulanya Monsun Barat Daya," katanya semasa sidang akhbar Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di sini pada Selasa.
Menurutnya, yang mana masa tersebut keadaan semakin kering dan banyak kebakaran terbuka akan berlaku terutamanya melibatkan tanah gambut.
Ujarnya, dimaklumkan pada tahun lepas banyak panggilan kebakaran terbuka diterima.
Tambah Farhan Sufyan, walaupun pihaknya belum lagi menerima sebarang maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkaitan El-Nino tapi JBPM Kelantan tetap bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku tahun ini.
"Kita telah menerima empat pam berkapasiti tinggi yang mana ia dapat meningkatkan mutu perkhidmatan sekiranya kebakaran terbuka berlaku serta kerjasama awal dengan Jabatan Alam Sekitar.
"Di Kelantan terdapat sembilan kawasan panas melibatkan kebakaran terbuka di tiga daerah iaitu Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok," katanya.
