Penduduk bimbang masalah air bertakung berlarutan, tanah pertanian rosak
- Admin UKK
- Berita
Tuaran: Penduduk Kampung Tambalugu, di sini, hidup dalam kebimbangan apabila kediaman mereka digenangi air berpanjangan akibat limpahan dari Loji Penapisan Air Telibong Dua, yang didakwa berlaku sejak lebih sedekad lalu.
Keadaan semakin memburuk sejak kebelakangan ini, dengan paras air meningkat ketara terutama ketika hujan lebat, menyebabkan beberapa rumah penduduk terjejas teruk akibat limpahan air yang tidak pernah kering.
Tinjauan mendapati empat rumah penduduk dikenal pasti berada dalam keadaan kritikal, manakala beberapa bidang tanah pertanian tidak lagi boleh diusahakan.
Wakil penduduk, Stanley Jungkat, 62, berkata, masalah itu berpunca daripada ketiadaan sistem perparitan untuk mengalirkan air ke sungai berhampiran, sehingga menyebabkan tanah menjadi lembap dan tapak rumah berisiko mendap.
"Kejadian itu menyebabkan ada rumah penduduk terbabit mengalami mendapan dan berisiko roboh apabila tapak kediaman menjadi lembut.
"Permasalahan itu sudah kerap kali disuarakan penduduk terjejas kepada pihak berkaitan, namun tiada tindakan diambil menanganinya sehingga kini," katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, kebun buah-buahan milik penduduk yang sebelum ini menjadi punca pendapatan turut rosak teruk akibat air bertakung, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi penduduk.
Stanley berkata, hidup penduduk yang dahulunya selesa berubah menjadi tidak menyenangkan, dengan ancaman risiko rumah roboh dan kehidupan dalam persekitaran air bertakung yang berterusan.
Sehubungan itu, beliau berharap Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, dapat campur tangan sebelum kejadian lebih buruk berlaku dan sukar ditangani.
Dalam perkembangan berkaitan, Madius memberi jaminan akan turun padang melihat sendiri masalah dihadapi penduduk Tambalugu dalam waktu terdekat.
Katanya, antara pendekatan yang akan dicadangkan kepada kerajaan ialah memindahkan penduduk Tambalugu ke lokasi baharu sebagai jalan penyelesaian jangka panjang.