PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

KPM pertingkat kesiapsiagaan berdepan banjir gelombang kedua

KPM pertingkat kesiapsiagaan berdepan banjir gelombang kedua

Butterworth: Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan kesiapsiagaan bagi berdepan kemungkinan banjir gelombang kedua, khususnya bagi calon yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi Op Payung.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kementerian sedang membuat segala persiapan bagi menghadapi kemungkinan itu.

“Setakat hari ini saya berpuas hati dengan semua persiapan yang sudah kita laksanakan. Jadi minggu depan, kita ada ujian Amali Sains dan juga diikuti oleh ujian bertutur Bahasa Inggeris.

“Jadi persiapan dalam keadaan sangat baik, Op Payung pun sudah diaktifkan untuk sebarang kejadian atau bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai acara larian Khazanah Reformasi Walk di Seberang Jaya di sini, semalam.

Katanya, KPM berjaya menangani banjir gelombang pertama secara tersusun. “Kita juga sudah memperoleh maklumat bilangan sekolah yang terbabit banjir dan kita sedang mengenal pasti kerugian akibat kerosakan,” katanya.

KPM sudah mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) Op Payung bagi menghadapi Ujian Amali Sains SPM yang dijadualkan berlangsung esok, 10 dan 12 Disember ini.

Langkah itu penting bagi memastikan ujian berkenaan dapat berjalan lancar dan tiada calon terjejas. Mengenai kerosakan sekolah akibat banjir, Fahdlina berkata, maklumat berkaitan gelombang pertama sudah diterima.

“Gelombang pertama kita sudah ada bilangannya, cuma sedang dikenal pasti dari segi unjuran kos (kerosakan) yang terbabit. “Pada masa sama, kita juga membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan lain (banjir gelombang kedua),” katanya.

Tak tangguh peperiksaan

DI Alor Setar, Fadhlina berkata, keputusan tidak menangguhkan SPM dibuat selepas mengambil kira tahap kesiapsiagaan semua pihak yang terbabit dalam menghadapi banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) sehingga Mac tahun depan.

Katanya, ia termasuk persediaan menjaga kebajikan calon SPM agar mereka dapat menduduki peperiksaan dengan selamat.

Katanya, pada peringkat kementerian, Op Payung akan terus diaktifkan bagi menangani semua isu berkaitan persekolahan, peperiksaan dan juga bencana banjir.

“Persiapan kita ini bukan sahaja soal keselamatan, kebajikan, tetapi secara keseluruhan, termasuk peperiksaan SPM itu. Jadi kita sudah maknanya bersedia melaksanakannya daripada hari pertama peperiksaan tempoh hari.

“Ujian itu akan terus kita pastikan dan pantau dengan ketat untuk memastikan semua anak kita dapat menghadapi peperiksaan dengan selamat dan juga Op Payung ini bersedia setiap masa.

“Kita juga membuat persiapan sekiranya gelombang kedua… gelombang ketiga yang sebagaimana dipersiapkan minda dan emosi kita oleh pihak Metmalaysia untuk berhadapan dengan gelombang-gelombang

selanjutnya,” jelas beliau. Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata agensi berkaitan sudah memulakan kerja penilaian kerosakan infrastruktur awam akibat banjir di setiap negeri.

Katanya, ia bagi memudahkan kementerian untuk menyediakan peruntukan bagi membaiki kerosakan terbabit.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search