PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

'Kehadiran PM santuni mangsa banjir ubati kesedihan kami di PPS'

'Kehadiran PM santuni mangsa banjir ubati kesedihan kami di PPS'

SETIU: "Kami sangat terharu kerana Perdana Menteri sudi datang melawat mangsa banjir di sini. Kehadiran beliau ke pusat penempatan sementara (PPS) ini dapat mengubat kesedihan kami yang terpaksa berpindah selepas rumah ditenggelami air," kata Nordin Ismail, 49, dari Kampung Kolam, Telaga Papan, di sini.

Beliau antara mangsa banjir yang teruja dengan kedatangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan, hari ini ketika lawatannya ke Terengganu.

Nordin berkata, dia tidak menyangka dapat bertemu, bersalaman dan berbual dengan Perdana Menteri yang sebelum ini hanya dilihatnya di kaca televisyen saja.

"Perdana Menteri adalah pemimpin yang prihatin dengan kesengsaraan dialami rakyat terkesan akibat banjir hingga sanggup turun padang bertemu mangsa bencana itu hari ini," katanya.

Lawatan Anwar ke PPS itu turut diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Dalam lawatan itu, Anwar turut menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Mangkok.

Bagi Azizah Ali, 53, dari kampung sama, kedatangan Anwar bertanya khabar mangsa banjir mengembalikan semula semangat mereka menempuh ujian bencana ini.

"Walaupun sedih kerana terpaksa tinggal sementara di PPS akibat rumah dilanda banjir, tetapi kehadiran Perdana Menteri hari ini memberi sedikit keceriaan kepada kami yang dapat bertemu muka dengan pemimpin negara ini," katanya.

Azizah berkata, dia berpindah ke PPS itu selepas rumah didiaminya ditenggelami air sehingga lebih satu meter menyebabkan barangan dalam rumah rosak.

Petani, Mohd Hanafi Ismail, 39, pula berkata, banjir menyebabkan dia kerugian hampir RM20,000 apabila tanaman ubi seluas 1.5 hektar musnah ditenggelami air.

Katanya, dia hanya menunggu masa untuk menuai kerana semua tanaman ubi kayu isi putih dan kuning serta ubi keledek oren (vitato) sudah matang.

"Sepatutnya bulan ini semua ubi berkenaan yang dianggarkan bernilai RM20,000 sudah boleh dijual tetapi tidak ada rezeki kerana hasil tanaman tenggelam (banjir)," katanya.

Mohd Hanafi berkata, kehadiran Perdana Menteri menyantuni mangsa banjir di PPS itu yang sebilangan besarnya adalah petani dan pekebun dapat mengubat kesedihan mereka.

"Kebanyakan penduduk di sini mengusahakan tanaman seperti timun, terung dan syuran lain. Kami berharap selepas banjir ini ada peruntukan bantuan untuk petani dan pekebun mengusahakan semula kebun kami yang musnah ini," katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search