PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Cuti menteri, timbalan dibekukan, diarah turun padang bantu rakyat

Cuti menteri, timbalan dibekukan, diarah turun padang bantu rakyat

Perdana Menteri mengarahkan cuti semua menteri dan timbalan masing-masing dibekukan ketika banjir merebak ke sebahagian besar Semenanjung menyaksikan hampir 100,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS), semalam.

Pada masa sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengarahkan menteri dan timbalan masing-masing turun padang bagi membantu rakyat yang terkesan.

“Semua menteri diminta teruskan tugas sekarang, turun (ke lapangan). Ya (cuti dibekukan),” katanya ketika ditanya sama ada cuti semua anggota Jemaah Menteri dibekukan berikutan bencana banjir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunai solat Jumaat di Surau Pudina, Presint 17 di sini, semalam.

Selesai solat Jumaat, Perdana Menteri bersama jemaah lain turut menunaikan solat hajat memohon kesejahteraan dan keselamatan semua mangsa banjir di seluruh negara.

Solat hajat juga diadakan di Masjid Negara selepas solat Jumaat serta beberapa lokasi lain.

Beberapa agensi teras seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula turun padang membantu mangsa.

Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, berkata lebih 500 anggota Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor dibekukan cuti sehingga Januari 2025 dalam persediaan menghadapi sebarang bencana berikutan Monsun Timur Laut (MTL).

“Kita sentiasa bersiapa siaga dan akan kerahkan serta-merta termasuk skuad PANTAS PBT. Mereka sudah bersedia dan kita tidak benarkan mereka ambil cuti dalam tempoh ini.

“Sekiranya apa kejadian berlaku, mereka akan turun terus ke lokasi,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai persiapan banjir di Selangor.

Sehingga jam 7.30 petang semalam, hujan berterusan menyebabkan jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, Perlis, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor meningkat mendadak kepada 94,778 orang daripada 28,589 keluarga.

Portal Bencana NADMA melaporkan 527 pusat pemindahan sementara (PPS) aktif, manakala lima kematian direkodkan.

Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 63,761 mangsa membabitkan 19,764 keluarga dipindahkan ke 232 PPS.

Jumlah mangsa di Terengganu pula ialah 22,511 daripada 6,358 keluarga yang berpindah ke 228 PPS.

Mangsa di Kedah juga meningkat kepada 5,618 daripada 1,695 keluarga; Negeri Sembilan dengan 1,822 mangsa (476 keluarga); Selangor 311 mangsa (76 keluarga); Perlis 485 mangsa (143 keluarga) dan Perak mencatatkan 20 mangsa dari 7 keluarga.

Mangsa di Melaka pula ialah 66 dari 19 keluarga dan Johor dengan 184 mangsa (51 keluarga).

Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan yang membabitkan lapan negeri Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor, sehingga hari ini.

NADMA aktifkan PKOB

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat (PKOB) diaktifkan bagi menyelaras dan memantau operasi menyelamat serta pengurusan mangsa banjir di lapangan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Katanya, semua aset sudah digerakkan ke lapangan bagi menangani sebarang situasi yang semakin buruk di beberapa negeri.

“NADMA juga akan memastikan semua kemudahan di pusat pemindahan sementara (PPS) berada dalam keadaan baik serta akan menyelaraskan kedudukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berada di tempat sepatutnya,” katanya kepada BH, semalam.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan berkata, perkhidmatan tren khas Mysawasdee dari KL Sentral - Hatyai - KL Sentral, iaitu Mysawasdee 1004 dan 1005 yang dijadualkan kelmarin hingga 2 Disember ini dibatalkan berikutan hujan berpanjangan di wilayah utara Semenanjung dan Hatyai yang dilanda banjir.

Pemulangan tambang penuh akan diberikan melalui KTMB Mobile (KITS) dan sebarang bantuan boleh merujuk kepada kakitangan stesen bertugas atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB pada talian 03 9779 1200 atau e-mel kepada callcenter@ ktmb.com.my.

Perkhidmatan tren KTM Intercity di laluan Pantai Timur juga terjejas akibat banjir dan kejadian tanah mendap di beberapa kawasan yang turut menjejaskan operasi tren penumpang.

Perkhidmatan lain yang turut terjejas termasuk Ekspres Rakyat Timuran No 26 dan No 27 (JB Sentral–tumpat–jb Sentral) serta Shuttle Timuran (Kuala Lipis–gua Musang–tumpat) akibat banjir.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan pula berkata, pihaknya bersiap sedia mengerahkan 3,552 anggotanya ke kawasan banjir di seluruh negara dalam misi bantuan menerusi Ops Murni.

Aset TDM turut digerakkan seperti trak, lori dan bot tempur dalam usaha membantu mangsa banjir.

Beliau berkata, sehingga ini, TDM sudah mengatur gerak 31 pegawai dan 350 anggota bersama 17 trak satu tan, 16 trak tiga tan dan 15 bot bagi membantu di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang terjejas teruk.

Selain membantu mangsa banjir, katanya, TDM turut bersiap sedia bagi operasi menyelamat jika diperlukan bagi membantu NADMA.

“Pelbagai aset logistik lain juga siap sedia digerakkan pada bila-bila masa bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) dan kita jangkakan bencana banjir akan melanda ke seluruh negara menjelang hujung tahun ini sehingga awal tahun hadapan.

Beliau juga berkata, kem tentera juga boleh dijadikan PPS jika keadaan memerlukan.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search