SEPANG: Pesawat kargo khas dari Pakistan yang membawa sumbangan banjir peringkat pertama untuk rakyat Malaysia, selamat mendarat di Terminal MASKargo di sini kira-kira 4.30 petang tadi.
Pesawat yang disewa khas itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad, Pakistan pada 5.30 pagi (waktu Pakistan) dan melibatkan perjalanan sejauh 4,437 kilometer.
Penerbangan pesawat kargo itu antara lain membawa barangan sebanyak 40 tan meliputi selimut, khemah keluarga, beg tidur, jaket keselamatan dan tikar bagi mangsa banjir di seluruh negara.
Inisiatif berkenaan susulan hasrat yang dizahirkan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif bagi menghantar sumbangan untuk meringankan beban rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir sebagai tanda solidariti dan kebersamaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dizahirkan rakan sejawatnya menerusi perbualan telefon pada petang 30 Nov lepas, dan Shehbaz turut menyatakan simpati kepada Malaysia susulan musibah itu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Syed Ahsan Raza Shah berkata langkah itu sebagai respons kepada bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia dan bantuan berkenaan mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara.
"Sebaik sahaja Perdana Menteri Pakistan mengetahui tentang banjir yang menjejaskan enam atau tujuh negeri, dan terdapat banyak kerosakan, harta benda dan nyawa, beliau bercakap dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ... bukan hanya untuk menyampaikan simpati dan dukungan kerajaan dan rakyat Pakistan, tetapi juga berhasrat untuk mengambil bahagian dalam sokongan ini.
"(Bantuan kemanusiaan) ini ialah refleksi dan manisfetasi (keprihatinan Pakistan), sumbangan ini tanda sokongan kecil kami kepada saudara di Malaysia, untuk membantu kerajaan Malaysia dalam usaha bantuan kepada negeri-negeri yang terjejas sehingga mengalami banyak kerugian," katanya kepada Bernama dan RTM selepas pesawat khas yang membawa bekalan bantuan itu mendarat di sini.
Beliau turut mengucapkan penghargaan atas kerjasama daripada agensi Malaysia, terutamanya Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atas sokongan tidak berbelah bahagi dan dedikasi mereka yang membolehkan bantuan ini disampaikan tepat pada masanya.
"Sudah tentu setiap kali perkara sebegini berlaku di Pakistan, bencana alam (dan sebagainya), kami sentiasa menerima bantuan daripada saudara di Malaysia. Hari ini ialah bantuan kecil kami yang mencerminkan hubungan erat antara dua negara dan berterima kasih atas sokongan itu," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) NADMA Meor Ismail Meor Akim berkata jumlah sumbangan yang diterima dari Pakistan adalah sebanyak 80 tan dan pesawat kargo yang akan membawa sumbangan peringkat kedua akan tiba di negara pada 11 Dis dengan muatan 40 tan (barangan sama).
Beliau berkata NADMA telah membuat persediaan rapi bagi menerima sumbangan terbabit dengan kerjasama National Disaster Management Authority (Pakistan) bersama agensi kerajaan lain antaranya Wisma Putra, Kementerian Pertahanan dan Polis Diraja Malaysia.
Ditanya mengenai kaedah pengagihan sumbangan itu, beliau berkata perkara itu akan diputuskan kelak selepas mesyuarat koordinasi diadakan.
“ ... hal itu belum diputuskan lagi, sebenarnya negara belum habis (bencana), baru mula. Kita jangka ada lebih lagi episod bencana berlaku, kita akan tengok keadaan nanti. Buat masa ini, kesemua barangan ini akan ditempatkan di depoh simpanan sebelum diagihkan kepada mangsa bencana,” katanya.
Khidmat cuci komputer percuma
- Admin UKK
- Berita
Kota Bharu: Dua sahabat di sini, menawarkan khidmat pembersihan menyeluruh komputer secara percuma kepada mangsa banjir, bagi membantu meringankan beban mereka yang diuji bencana itu, baru-baru ini.
Khadijah Mod Suhaimi, 32, yang juga pemilik Mumtaz Network berkata, idea itu timbul, apabila beliau serta sahabatnya Siti Ismatu Saadiah Rusly, 32, melihat banyak peralatan elektrik dan elektronik rosak ditenggelami banjir.
Beliau yang telah 10 tahun terbabit dalam perkhidmatan membaiki komputer berkata, sejak membuat hantaran menawarkan khidmat itu di Tiktok Isnin lalu hampir 30 komputer riba milik mangsa banjir sudah dibaiki.
Antara talian hayat untuk komputer mahupun komputer riba yang terjejas adalah dengan pembersihan menyeluruh menggunakan bahan kimia, bagi membersihkan kotoran termasuk lumpur yang memasuki bahagian dalam peralatan itu.
Setiap komponen komputer mahupun komputer riba yang dihantar mangsa banjir akan dibuka untuk kami melihat bahagian yang terjejas, sebelum dicuci dengan bahan kimia khas dan dikeringkan kemudiannya," katanya kepada Bernama di Jalan Kelochor di sini.
Terdahulu, hantaran Khadijah di akaun Tiktok Mumtaz Network mengenai perkhidmatan pembersihan menyeluruh secara percuma kepada mangsa banjir itu tular sehingga dikongsikan hampir 5,000 pengguna Tiktok.
Bercerita lanjut, siswazah jurusan Kejuruteraan Perisian Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) itu berkata, kebanyakan mangsa banjir yang menghantar komputer riba untuk dibaiki itu dari Tumpat, Pasir Puteh dan juga Pasir Mas.
"Saya dibantu Siti Ismatu Saadiah mampu membaiki hingga enam komputer riba sehari bergantung tahap kerosakan. Kebiasaannya khidmat ini & nbspdikenakan caj RM150 hingga RM300, namun saya anggap ini usaha kecil kami bagi meringankan beban mangsa banjir," katanya.
Khadijah turut menasihatkan sekiranya ada komputer riba mahupun komputer yang ditenggelami banjir agar tidak menghidupkan alat elektronik itu sebelum melakukan pembersihan menyeluruh, untuk mengelakkan kerosakan lebih teruk, sekali gus tidak dapat digunakan lagi.
"Sekiranya tidak menghidupkan terlebih dahulu alat elektronik mereka sehingga pembersihan menyeluruh dilakukan, ia mempunyai potensi digunakan seperti sedia kala. Alhamdulillah setakat ini peralatan elektronik yang dihantar kepada saya dapat berfungsi semula dengan baik," katanya.
Beliau berkata, perniagannnya beroperasi setiap Ahad hingga Khamis dan buat masa ini khidmat pembersihan komputer yang ditawarkan masih tidak mempunyai had waktu, memandangkan sesetengah mangsa banjir masih lagi terkandas.
KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan mangsa banjir di enam negeri terus berkurangan dengan hanya 649 orang daripada 184 keluarga berada di 11 pusat pemindahan sementara PPS sehingga jam 6.30 pagi tadi.
Di Kedah, jumlah mangsa banjir ialah 352 orang daripada 92 keluarga masih ditempatkan di satu PPS dengan sebuah daerah sahaja terjejas banjir.
Di Perak, seramai 117 mangsa daripada 39 keluarga ditempatkan di tiga PPS manakala di Johor pula 109 mangsa daripada 33 keluarga di empat PPS.
Di Kelantan pula, bilangan mangsa banjir terus menurun dengan hanya 43 orang daripada 12 keluarga di satu PPS begitu juga di Negeri Sembilan iaitu 17 mangsa daripada empat keluarga di satu PPS.
Situasi banjir di Melaka juga hampir pulih, apabila hanya 11 mangsa masih berlindung di sebuah PPS.
KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan mangsa banjir di lima negeri terus berkurangan malam tadi, dengan lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup lewat petang semalam.
Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata dua PPS di Segamat dan satu di Batu Pahat ditutup petang, menjadikan jumlah mangsa banjir malam tadi sebanyak 168 orang berbanding 229 orang pada sebelah petang.
"Semua mangsa banjir negeri ini yang terdiri daripada 48 keluarga berada di Segamat dan ditempatkan di lima PPS di daerah itu," katanya menerusi kenyataan malam tadi.
KELANTAN juga merekodkan penurunan mangsa selepas sebuah PPS di Tumpat ditutup, menjadikan jumlah mereka yang masih terkesan dengan bencana itu malam tadi ialah 111 orang berbanding 240 orang yang direkodkan petang tadi.
Portal Info Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan dua PPS masih beroperasi di negeri itu, iaitu di Tumpat yang menempatkan 68 mangsa daripada 36 keluarga manakala PPS di Pasir Mas dihuni 43 mangsa daripada 12 keluarga.
Sementara itu, di PERAK, Sekretariat JPBN memaklumkan banjir di Manjung pulih selepas PPS Dewan Orang Ramai Kampung Batu 4 ditutup setelah lima mangsa terakhir di situ pulang ke rumah masing-masing pada 5.30 petang semalam.
Perkembangan itu menjadikan jumlah mangsa malam ini berkurangan kepada 116 orang dengan 82 orang daripada 28 keluarga berada di dua PPS di Kinta manakala 34 orang daripada 11 keluarga menghuni sebuah PPS di Perak Tengah.
Situasi banjir di MELAKA juga hampir pulih, apabila hanya 11 mangsa masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat, Jasin malam tadi, berkurangan daripada 17 mangsa yang direkodkan petang selepas PPS SK Parit Penghulu, juga di Jasin ditutup lewat petang semalam.
Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah mangsa banjir ialah 254 orang daripada 64 keluarga berbanding 255 orang daripada 65 keluarga petang tadi dengan kesemua mereka ditempatkan di PPS SK Sri Gunung, Kota Setar. - BERNAMA
KUANTAN: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir membabitkan sembilan kawasan, termasuk tujuh kampung di daerah ini.
Kawasan terbabit ialah Kampung Batu 5 Jalan Gambang, Kampung Belukar, Kampung Gudang Rasau, Kampung Kurnia, Kampung Semangat, Kampung Telok Mahang, Sungai Isap, Taman Pandan Aman dan Kampung Sri Damai.
Menurut kenyataan dikeluarkan, ia susulan amaran hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang meramalkan banjir di daerah ini bermula hari ini hingga Rabu ini.
"Ia membabitkan kawasan-kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Sungai Belat. Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.
"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.
"Oleh itu orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, laman sesawang JPS melaporkan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran melepasi paras amaran dengan merekodkan bacaan 26.60 meter pada jam 8.15 pagi.
Empat sungai melepasi paras waspada pula ialah Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh; Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Pekan.