OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kebakaran Putra Heights: Selangor sasar kumpul RM500k dengan potongan gaji

Sebagai tanda solidariti dengan mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan pemotongan gaji Adun dan penjawat awam berpangkat tinggi untuk disalurkan ke tabung untuk mangsa.

Amirudin berkata kerajaan negeri menyasarkan untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM500,000 dalam Tabung Prihatin Selangor.

"Bagi tujuan ini, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan menyumbang RM1,000 daripada gaji mereka, keseluruhan Adun termasuk pembangkang RM200, manakala bagi penjawat awam Gred 48 ke atas RM50 yang akan digunakan bagi membantu proses pemulihan yang direncana kerajaan negeri," katanya.  

Amirudin berkata sebanyak 270 rumah di sana disahkan selamat dan sedia untuk diduduki semula, dan pemilik rumah juga boleh membuat kerja-kerja pembaikan kecil.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung urusan baik pulih kediaman mangsa, Isnin minggu depan.

"Rumah-rumah yang ada masalah kecil ini kita akan lihat nanti macam mana proses baik pulihnya. 

“Kalau tidak begitu besar, akan ada satu sumbangan standard kepada mereka yang akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemulihan," katanya lagi.

Selain itu, kerja pembersihan akan dijalankan di kawasan terjejas pada hujung minggu ini dengan sokongan kira-kira 1,000 sukarelawan.

 
Pada 6 April lalu, sebanyak 219 buah rumah dilaporkan rosak akibat kebakaran yang berlaku empat hari sebelumnya.

Sementara itu, Amirudin berkata seramai 219 daripada 469 ketua isi rumah yang terjejas telah menerima bantuan segera yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 1 April.

Pejabat Daerah Petaling masih dalam proses memuktamadkan pengesahan individu yang terjejas dan dijangka selesai Jumaat ini.

Berhubung pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Camelia Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Amirudin berkata ia akan ditutup pada pukul 10 malam ini selepas menempatkan 60 orang daripada 16 keluarga yang terjejas.

Ini berikutan bantuan yang diberikan oleh kerajaan, dengan beberapa keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Kerajaan negeri mula menawarkan perumahan seperti Airbnb serta tawaran duit sewa, dan proses pemindahan penduduk dari PPS berkenaan ke unit rumah yang ditawarkan bermula hari ini.

"Operasi PPS Masjid Putra Heights yang kini menempatkan 87 keluarga pula dijangka ditamatkan pada Ahad ini," katanya lagi.

Amirudin menambah Majlis Agama Islam Selangor pula akan menyediakan bakul makanan untuk keluarga terjejas yang dijangka mencukupi untuk keperluan selama sebulan.

Letupan Putra Heights: Gas Malaysia umum pengeroperasian semula Stesen Serdang City Gate

KUALA LUMPUR: Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) mengumumkan pengoperasian semula Stesen Serdang City Gate yang ditutup sementara susulan tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, minggu lalu.

Gas Malaysia menerusi satu kenyataan di sini, hari ini, memberitahu perkara itu dimaklumkan oleh pembekal PETRONAS Gas Berhad (PGB) bagi menyokong proses pemulihan dan mengukuhkan kestabilan bekalan gas di kawasan Lembah Klang.

"Pengoperasian semula itu dapat meningkatkan bekalan gas terutama kepada pelanggan industri di kawasan terjejas seperti Putrajaya, Kuala Lumpur, Bangi, Balakong dan Seri Kembangan.

"Melalui perkembangan itu, hanya empat stesen yang sedang dalam pemulihan oleh PGB dalam memastikan usaha memulihkan bekalan gas sepenuhnya diteruskan," kata kenyataan itu.

Menurut Gas Malaysia, jumlah pelanggan yang terjejas kini berkurangan kepada 275 berbanding 299 sebelum ini seperti diumumkan Suruhanjaya Tenaga.

Katanya, pengurangan bekalan gas bagaimanapun dijangka berterusan sehingga 20 April ini berdasarkan notis oleh PGB.

"Kami memahami cabaran dihadapi oleh pelanggan yang terpaksa mengehadkan operasi disebabkan gangguan bekalan gas tidak dijangka," katanya.

Dalam pada itu, Gas Malaysia menafikan insiden kebakaran itu membabitkan kemudahan milik syarikat berkenaan sebaliknya ia berlaku di infrastruktur milik PGB.

Gas Malaysia kekal komited memastikan pengedaran gas asli yang selamat dan boleh dipercayai melalui pembinaan saluran paip yang mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, mengurangkan kesan kepada pelanggan, memastikan keselamatan awam dan mengekalkan integriti perkhidmatan kekal menjadi keutamaan Gas Malaysia.

Banjir kilat landa tiga buah kampung di Jeli, 36 penduduk terjejas

JELI: Hujan lebat selama tiga menyebabkan Kampung Lakota, Kulim dan Air Putih dilanda banjir kilat sekali gus menyaksikan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan bagi menempatkan seramai 36 mangsa.

Ketua Polis Daerah Jeli Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, setakat pukul 8 malam tadi kesemua mangsa dari 11 keluarga itu kita berlindung di PPS Kampung Lakota.

“Susulan itu, pihak kami (Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli) telah membuat lawatan PPS untuk melihat keadaan mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini sebentar tadi.

Kamarulzaman memberitahu, bagaimanapun air mulai surut pada pukul 9 malam tadi.

Katanya, kesemua penduduk yang terjejas akan dibenarkan pulang sekitar pukul 8 pagi esok.-UTUSAN

Banjir kilat di Jeli, 36 penduduk bermalam di PPS

JELI - Seramai 36 penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Lakota, Kulim dan Air Puteh di sini terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kawasan rumah mereka dilanda banjir kilat susulan hujan lebat pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, kesemua mangsa daripada 11 keluarga itu ditempatkan di PPS Kampung Lakota setakat jam 8 malam.

"Kesemua pendaftaran mangsa yang terlibat telah dilakukan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jeli," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut beliau, pihaknya telah membuat lawatan ke PSS untuk melihat keadaan mangsa banjir dan memastikan segala persiapan diatur dengan baik.

Katanya, polis mengambil berat keadaan mangsa banjir yang telah berpindah ke PPS.

 

'Mohon jangan abai mangsa dari kampung' - Mangsa kebakaran Putra Heights

MANGSA letupan paip gas bawah tanah Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku pada hari kedua Aidilfitri dari kampung-kampung di sekitar lokasi kejadian tidak seharusnya diabai.

Selain bantuan perubatan, pihak berkaitan boleh menyalurkan bantuan kerana kebanyakan mereka melarikan diri sehelai sepinggang kerana kebanyakan mereka melarikan diri sehelai sepinggang.

Salah seorang mangsa dari Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong, Muhammad Amirul Azhar Mohd Yasin, 28, memaklumkan ramai penduduk kampung yang terjejas.

"Kalau hendak mengira kos yang terjejas, penduduk Taman Putra Harmoni tentu lebih mahal jika hendak dibandingkan dengan penduduk kampung.


"Tetapi penduduk kampung yang terkesan dengan insiden ini pun ramai. Walaupun rumah yang dibeli mereka itu (bernilai) RM70,000 hingga RM100,000, namun mereka tidak memiliki wang sebanyak yang dimiliki penduduk Taman Putra Harmoni.

"Bayangkan, jika mangsa itu nenek tua, mana hendak cari duit untuk bina rumah semula. "Saya harap orang ramai dapat lihat sebenarnya yang lebih terkesan penduduk Kampung Kuala Sungai Baru kerana mereka kebanyakannya bukanlah orang senang

"Walaupun rumah mereka tidak mahal tidak banyak kos diperlukan tetapi (kejadian itu) memberi kesan besar kepada individu itu. "Mereka sendiri adalah orang yang tidak senang," katanya.

Ditanya mengenai bantuan yang diperlukan, Muhammad Amirul Azhar meminta pihak berkenaan tidak melupakan mangsa yang dirawat di hospital. "Saya berharap semua pihak sama-sama membantu semua pihak yang terlibat dalam kebakaran ini.

"Bukan hanya mereka (mangsa) yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sahaja perlu dibantu kerana yang sakit kebanyakannya kini berada di hospital.

"Mereka di hospital tidak dapat bantuan yang sepatutnya. Perlu tahu di mana bantuan yang sebenarnya perlu disalurkan," katanya.

Sementara itu, isteri Muhammad Amirul Azhar, Nur Izzati Alia Nur Izzati Alia Zainuddin, 28, turut berharap penduduk kampung yang terjejas mendapat perhatian pihak yang terlibat.

"Diharapkan kemunculan kami menerusi audio siar Borak Bibir Merah SinarPlus ini sedikit sebanyak membantu penduduk kampung," katanya.

Terdahulu, SinarPlus melaporkan seramai sembilan ahli keluarga Muhammad Amirul Azhar termasuk seorang kanak-kanak turut mengalami kecederaan melecur pada anggota badan dan menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Dalam kejadian pada 1 April lalu, rumah mentuanya yang didiaminya terletak hanya 50 meter dari lokasi letupan musnah. Letupan pada 2 Syawal itu mengakibatkan sembilan sekeluarga berusia 85 hingga empat tahun cedera melecur.

Difahamkan, sebanyak 39 buah rumah di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong musnah sepenuhnya.

Selain Kampung Kuala Sungai Baru, kebakaran mengerikan yang mengambil masa selama lapan jam untuk dipadamkan itu turut menjejaskan penduduk Kampung Sungai Baru dan Kampung Tengah, Puchong.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search