OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pemilik kilang karpet terbakar Nilai 3 rugi RM30 juta

SEREMBAN – Kebakaran sebuah kilang permaidani di tepi jalan utama ke Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini, pagi tadi dilaporkan mengalami kerugian mencecah kira-kira RM30 juta.

Menurut pemilik yang juga Pengarah syarikat, J. Rajesh 52, dia dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran itu daripada pengawal keselamatan yang berada di situ.

“Saya belum lagi sampai ke kilang dan difahamkan sebelum kejadian, pengawal telah membuka suis utama namun dipercayai berlaku sesuatu yang aneh sebelum dia nampak kepulan asap dan seterusnya menyebabkan semua permaidani termasuk barangan kelengkapan rumah di dalam kilang hangus terbakar.
 

“Kejadian itu berlaku kira-kira 7. 49 pagi dan menyebabkan keseluruhan bangunan kilang permaidani yang beroperasi sejak lapan tahun itu hangus,” katanya ketika ditemui dilokasi kejadian di sini, hari ini.

Menurutnya, dia menarik nafas lega kerana kejadian kali pertama yang berlaku ini tidak melibatkan nyawa pekerjanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Nor Arifin Kamari berkata pihaknya menjangkakan dalam masa tiga hingga enam jam pemadaman api akan pulih sepenuhnya memandangkan bahan yang menyebabkan kebakaran (fire loaded) dalam kilang tersebut adalah sangat banyak.

“Terdapat beberapa risiko bahaya masih dikesan seperti runtuhan stuktur serta arus elektrik untuk pihaknya membuat penilaian dan kami tunggu sehingga api dapat dikawal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ribut petir landa hampir seluruh negara hingga 6 petang

PETALING JAYA – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda hampir seluruh negara sehingga pukul 6 petang hari ini.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), dalam kenyataan berkata, cuaca buruk itu diramal melanda di Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan) serta seluruh negeri Perak.

Sementara itu, kata MetMalaysia, cuaca sama juga berisiko melanda Kelantan (Tanah Merah dan Machang), Terengganu (Besut, Setiu dan Hulu Terengganu) serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh.

“Hujan lebat serta ribut petir turut dijangka berlaku sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan (Jelebu) padi petang ini.

“Di Johor melibatkan Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru, manakala di Sarawak membabitkan bahagian Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Kapit (Belaga), Bintulu (Tatau) dan Miri (Beluru, Telang Usan dan Miri).

“Cuaca buruk itu turut dilaporkan akan melanda Sabah melibatkan kawasan Kudat (Pitas dan Kudat),” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE

Kebakaran gudang karpet: Operasi pemadaman masih berjalan

NILAI: Operasi pemadaman kebakaran melibatkan sebuah gudang karpet di Nilai 3 masih lagi berjalan. Tinjauan setakat ini mendapati ruangan udara di sekitar kawasan kebakaran masih lagi terjejas dengan kepulan asap tebal.

Difahamkan, masih terdapat kebakaran kecil di ruangan dalam gudang ekoran beberapa bahan yang mudah terbakar selain susunannya secara bertingkat.

Setakat ini, operasi pemadaman turut melibatkan bantuan daripada Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Selangor.

Hasil pemerhatian Buletin TV3, kebakaran turut merebak ke sebahagian kecil ruangan di sebelah gudang yang juga lokasi parkir kenderaan.

Bagaimanapun tiada sebarang kenderaan mahupun korban nyawa dilaporkan setakat ini.

Terdahulu, gudang karpet berkeluasan 700 kaki kali 500 kaki persegi dilaporkan terbakar dalam kejadian sekitar jam 8 pagi hari ini.

Api marak di lokasi dan kebakaran menyebabkan kepulan asap serta dapat dilihat dari jauh, malah turut dirakam penduduk di sekitar daerah ini.

Setakat ini punca kebakaran masih belum dapat dikenal pasti.

 

Hujan lebat lebih panjang di Pantai Timur, utara Semenanjung bermula esok

PETALING JAYA – Beberapa kawasan di Pantai Timur dan utara Semenanjung Malaysia dijangka mengalami ribut petir berserta hujan lebat yang menyeluruh dalam tempoh yang lebih panjang bermula selama enam hari bermula esok.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, analisi terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun dijangka memasuki rantau negara bermula pada 22 sehingga 27 Februari 2025.

“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat yang menyeluruh dalam tempoh yang lebih panjang di Kelantan, Terengganu dan utara Semenanjung.

“Pada masa yang sama, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di Laut China Selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Hisham berkata, MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa pada 24 sehingga 27 Februari 2025.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Lima sekolah Sarawak belum dapat beroperasi ekoran bencana banjir

KUCHING, 21 Feb: Lima sekolah di Sarawak masih belum dapat beroperasi secara bersemuka akibat kerosakan fasiliti, peralatan dan asrama selepas terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, berkata keadaan masih tidak berubah setakat ini, dan pihaknya sedang berusaha untuk mempercepatkan proses pemulihan bagi membolehkan sesi persekolahan berjalan seperti biasa.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dengan kerjasama pelbagai pihak sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta menyediakan keperluan dan kelengkapan untuk guru dan murid.

“Proses pemulihan ini melibatkan jaringan dan jalinan kerjasama bersama pihak berkuasa tempatan, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Sukarelawan Skuad Ikhsan MADANI, NGO, PIBG, komuniti dan lain-lain.Malaysian products

“Kami berusaha secepat mungkin bagi memastikan semua keperluan disediakan, namun ia masih bergantung kepada keadaan cuaca dan situasi banjir terkini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Dalam pada itu, JPNS telah mengambil langkah mitigasi awal bagi memastikan murid-murid yang terlibat tidak ketinggalan dalam pelajaran sepanjang tempoh penutupan sekolah.

Beliau berkata murid yang terkesan akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

“Bagi mereka yang menghadapi masalah capaian Internet di rumah atau rumah panjang, guru akan datang menziarahi murid dengan memberikan lembaran kerja atau tugasan.

“Lembaran kerja ini akan dikutip kembali setiap hari, dan laporan PdPR akan dihantar kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta dimaklumkan dalam kumpulan bencana JPNS,” jelasnya.

Mengulas tentang isu kepadatan murid dalam kelas di Sarawak, Omar mengaku terdapat sekolah yang mengalami masalah ini, namun ia masih dalam keadaan terkawal.

“Bagi jangka masa pendek, JPNS telah melaksanakan peluasan kelas enrolmen padat, kawalan kemasukan murid Tahun 1 serta perpindahan murid ke sekolah yang lebih sesuai.

“Kami juga mengambil langkah penyuraian murid ke sekolah berdekatan bagi mengatasi masalah kepadatan di sekolah tertentu,” ujarnya.

Tambahnya, bagi jangka masa panjang, JPNS merancang untuk membina bilik darjah tambahan serta sekolah baharu di kawasan yang dikenal pasti mengalami kepadatan murid.

Katanya, projek pembinaan tersebut akan dilaksanakan menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun.Malaysian products

Menurut Omar, usaha berterusan sedang dijalankan bagi memastikan infrastruktur pendidikan di Sarawak terus ditambah baik demi keselesaan pelajar.

Sementara itu, pihak JPNS akan terus memantau perkembangan sekolah-sekolah yang masih belum beroperasi bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.

Mereka juga akan bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan bagi memastikan semua pelajar dapat kembali ke sekolah dalam keadaan selamat dan selesa. -TVS

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search