OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kilang proses bahan pencuci musnah terbakar

PELABUHAN KLANG - Sebuah kilang memproses bahan pencuci di Jalan Sultan Alauddin 3 di sini musnah dalam kebakaran pada Rabu melibatkan simpanan bahan kimia yang mudah terbakar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.31 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada jam 5.26 pagi.

Beliau berkata, kebakaran melibatkan kawasan pemprosesan bahan pencuci serta simpanan Intermediate Bulk Container (IBC) Tank yang berkapasiti 1,000 liter setiap satu.

"Pemeriksaan awal mendapati sejumlah besar IBC Tank mengandungi bahan kimia seperti phosphoric acid 85 peratus (lima tangki), caustic soda 48.5 peratus (80 tangki) dan sodium hypochlorite 10 peratus (27 tangki) terbakar serta mengalami kebocoran.

"Kebakaran ini turut menyebabkan kerosakan pada struktur bangunan kilang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, seramai 26 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Klang, BBP Sungai Pinang dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Shah Alam dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran serta menangani kebocoran bahan kimia berkenaan.

"Pasukan Hazmat memasang satu aliran hose water curtain bagi mengawal penyebaran api serta menjalankan penilaian keselamatan bahan kimia di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan kemudiannya dijalankan melibatkan cecair yang tumpah di lantai dan mendapati bacaan pH 1 dan pH 14 di sudut berbeza, menunjukkan kehadiran bahan kimia bersifat asid dan alkali," jelasnya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menggunakan alat pengesan gas menunjukkan bacaan normal.

"Pemilik premis telah menghubungi syarikat kontraktor bagi menguruskan pelupusan bahan kimia yang terjejas.

"Operasi pemadaman dan penilaian keselamatan selesai pada jam 8.15 pagi sebelum diserahkan kepada pihak kilang," katanya.

Tambahnya, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian ini. "Punca kebakaran masih dalam siasatan," jelasnya.

Usung jenazah sejauh 30 meter, jambatan konkrit ditenggelami banjir

Kuala Krai: Skuad Bantu Kuala Krai dan Sukarelawan Kuala Krai bersama penduduk terpaksa merentasi jambatan konkrit sejauh 30 meter yang ditenggelami banjir untuk mengusung dan membawa jenazah warga emas ke tanah perkuburan, pagi semalam.

Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan jambatan konkrit di Kampung Jeram Batu, yang menjadi jalan utama, ditenggelami air setinggi 0.3 meter.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guchil, Hilmi Abdullah, berkata pada jam lebih kurang 10 pagi semalam, dia menerima panggilan daripada Penghulu Batu Balai mengenai kematian seorang warga emas, Ramlah Daud, 69, yang meninggal dunia akibat penyakit kanser.

"Saya dimaklumkan penduduk kampung mengalami kesukaran untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan berikutan jambatan di kampung berkenaan ditenggelami banjir.

15 rumah terjejas ribut di Rembau

REMBAU - Beberapa rumah di Taman Rembau Utama di sini mengalami kerosakan akibat kejadian ribut yang berlaku pada petang Selasa.

Rakaman video kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu tular di media sosial dengan atap dan bumbung beberapa rumah tercabut serta diterbangkan angin kencang.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Rembau, Zamri Mohd Esa berkata, berdasarkan maklumat awal, 15 rumah terjejas susulan kejadian tersebut namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

"Ketika ini kita sedang membuat penilaian kerosakan manakala bantuan baik pulih atap dan bumbung akan dimohon melalui Tabung Amanah Bencana Negeri Sembilan.

"Kejadian ribut ini bukan yang pertama kerana ia pernah berlaku pada Sabtu lalu di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota yang menjejaskan tiga buah rumah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, dalam ruangan komen video tular itu rata-rata pelayar media sosial berkenaan meluahkan rasa simpati selain menyatakan kesan kerosakan di kediaman masing-masing.

Sementara itu, dalam ruangan komen video tular itu rata-rata pelayar media sosial berkenaan meluahkan rasa simpati selain menyatakan kesan kerosakan di kediaman masing-masing.

 

Datuk Bandar turun padang bersih saliran tersumbat

SHAH ALAM - Hujan lebat berterusan sejak kebelakangan ini di sekitar Shah Alam menyebabkan beberapa kawasan mengalami masalah air bertakung.

Salah satu lokasi yang terjejas adalah di Persiaran Dato Menteri, berhampiran Restoran Syed di Seksyen 3 di sini.

 

Keadaan ini mendapat perhatian Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim, yang turun padang sendiri bagi memastikan tindakan segera diambil.

Beliau yang dalam perjalanan pulang dari Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Selasa tanpa berlengah turun dari kenderaan dan mengambil tindakan membersihkan parit erong yang tersumbat, dipercayai menjadi punca kepada masalah saliran di Persiaran Dato Menteri.

Langkah proaktif ini mencerminkan komitmen tinggi beliau terhadap kebersihan, keselamatan, dan kesejahteraan warga Shah Alam.

Penduduk yang menyaksikan insiden tersebut memuji tindakan pantas Mohd Fauzi yang tidak teragak-agak untuk bertindak demi kesejahteraan masyarakat.

Seorang peniaga di kawasan berhampiran Ahmad Faizal, menyatakan rasa kagumnya terhadap kepimpinan Datuk Bandar Shah Alam.

“Kami sangat menghargai kesungguhan Datuk Bandar yang turun padang sendiri, bukan sekadar memberi arahan dari jauh. Ini menunjukkan beliau benar-benar mengambil berat masalah rakyat,” katanya.

MBSA dalam kenyataan rasmi sebelum ini turut menegaskan bahawa pemantauan berkala akan terus dilakukan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Penduduk juga digalakkan untuk melaporkan sebarang isu berkaitan sistem perparitan atau banjir kilat kepada pihak berkuasa tempatan.

Dengan kepimpinan berjiwa rakyat seperti ini, Shah Alam diyakini dapat melangkah lebih maju sebagai sebuah bandar raya yang bukan sahaja moden, tetapi juga mesra penduduk.

 

Situasi banjir di Kelantan adalah banjir kilat - Bomba

Kota Bharu: Banjir yang berlaku di beberapa daerah di Kelantan akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu adalah situasi banjir kilat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, keadaan cuaca seperti ini dijangka akan berterusan sehingga 1 Mac depan berdasarkan rujukan daripada aplikasi ramalan cuaca, namun ia tidak membimbangkan.

Katanya, pada masa sama, pihaknya turut melakukan pemantauan secara berkala di kawasan rendah yang berisiko banjir berdasarkan laporan semasa daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan MetMalaysia.

"Sehingga kini, berdasarkan pemerhatian kami dan rujukan daripada MetMalaysia paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melebihi paras bahaya.

"Justeru saya menasihatkan kepada penduduk yang tinggal di hilir sungai supaya berjaga-jaga dan mendengar nasihat daripada pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah," katanya ketika dihubungi.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search