OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pantai Timur hujan lebat petang ini

PETALING JAYA – Hujan lebat dan ribut petir diramal melanda tujuh negeri sehingga pukul 5 petang ini.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi kenyataan berkata, Kelantan, Terengganu dan Pahang antara negeri terlibat.

 “Antara negeri terlibat adalah Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang), Terengganu (Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin).

“Turut terkesan adalah Negeri Sembilan (Jempol) dan Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi),” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Sarawak dan Sabah juga dijangka mengalami cuaca buruk sama.

“Di Sarawak pula kawasan terkesan adalah Kuching (Kuching), Sri Aman, Mukah (Daro dan Matu), Kapit (Song dan Belaga) dan Limbang.

“Di Sabah pula di Pedalaman (Sipitang, Tenom dan Nabawan) dan Tawau (Lahad Datu),” ujar kenyataan sama. – KOSMO! ONLINE

11 'hotspot' banjir dikenal pasti di Sepang dan Kuala Langat - Aiman Athirah

SEPANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti 11 kawasan berisiko banjir di daerah ini serta Kuala Langat sebagai langkah awal menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata daripada 11 kawasan itu, sembilan berada di Sepang dan baki dua lagi di Kuala Langat.

Beliau berkata semua lokasi itu dikenal pasti melalui libat urus diadakan bersama agensi seperti Jabatan Pengairan Selangor (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

"Selain lokasi berisiko tinggi, libat urus turut mengenal pasti punca masalah banjir yang mana terdapat isu penyelenggaraan seperti pam di pintu tali air dan ban pecah yang perlu ditangani satu persatu.

"Selain itu, beberapa kawasan memerlukan rancangan tebatan banjir yang mengambil masa lebih lama," katanya pada Majlis Ihya Ramadan & Sumbangan KASIH @Sepang di Masjid Al-Khairat Kampung Olak Lempit, hari ini.

Pada majlis itu 157 surau di Sepang dan Kuala Langat menerima sumbangan berjumlah RM47,750, manakala 37 penggali kubur dan pemandu van jenazah menerima bakul Rahmah.

Aiman Athirah yang juga AHli parlimen Sepang berkata sebahagian projek tebatan banjir di kawasan ini sudah dalam perancangan dan sebahagian daripadanya memerlukan peruntukkan tambahan dari kerajaan.

Beliau menegaskan, pihaknya akan membawa input daripada jurutera terlibat kepada kementerian serta agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Katanya, bagi projek tebatan banjir fasa pertama, ia masih belum dapat dilaksanakan kerana isu pengambilan tanah, namun perundingan masih berjalan.

"Rancangan tebatan banjir fasa kedua pula sedang berjalan, manakala fasa ketiga akan melibatkan kawasan Kuala Langat," katanya.

 

JAKOA segerakan pembinaan jambatan baharu Sungai Balar

GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menyegerakan pembinaan baharu jambatan Sungai Balar yang terputus akibat banjir untuk kemudahan pejalan kaki dan pengguna motosikal.

JAKOA dalam kenyataannya berkata, jambatan yang terputus itu sudah termasuk dalam senarai perancangan untuk dibaik pulih bagi tahun ini.

Namun katanya, susulan kejadian yang berlaku pihaknya akan menyegerakan pembinaan baru untuk kemudahan pejalan kaki dan pengguna motosikal.

"Berikutan insiden yang berlaku ini, JAKOA akan menyegerakan pembinaan baru untuk kemudahan pejalan kaki dan pengguna motosikal.

"JAKOA sentiasa komited untuk mencari penyelesaian terbaik dan memastikan kesejahteraan serta kebajikan masyarakat Orang Asli terus terpelihara," katanya.

Terdahulu media melaporkan, hampir 400 penduduk dari tiga kampung di Pos Balar, dekat sini terputus hubungan apabila jambatan gantung besi Sungai Balar yang menghubungkan kampung itu terputus akibat banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang berkata tiga kampung terbabit adalah Kampung Barung, Kampung Ipes dan Kampung Tidag.

 

Kebakaran di LRA Bukit Pinang, 65,000 akaun pengguna terjejas

ALOR SETAR – Kira-kira 65,000 akaun pengguna di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu mengalami gangguan bekalan air susulan kebakaran pada sistem elektrikal pam air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang, hari ini.

Menurut Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn. Bhd., operasi di LRA tersebut terpaksa dihentikan akibat kejadian litar pintas dan kerosakan pada sistem dalaman elektrikal pam tersebut.

“Berlaku gangguan bekalan air di beberapa kawasan disebabkan henti tugas operasi LRA Bukit Pinang fasa satu, dua dan tiga berikutan litar pintas dan kerosakan pada sistem dalaman elektrik pam air mentah.

“Gangguan bekalan air itu bermula kira-kira pukul 4.30 petang tadi hingga kerja-kerja pembaikan dan agihan semula bekalan air selesai. Dianggarkan sebanyak 65,000 akaun pengguna terjejas,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Pegawai Bomba Tinggi II Bakar Saad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.11 petang dan tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi didapati berlaku kebakaran pada distribution box (DB) dengan bekalan elektrik telah diputuskan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya. – KOSMO! ONLINE

UiTM Machang tempatkan mahasiswa terjejas tanah runtuh Taman Desa Mas di kolej kediaman

KOTA BHARU: Lebih 50 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang yang terjejas akibat tanah runtuh di kawasan kediaman mereka di Taman Desa Mas, November lalu, akan ditempatkan di kolej kediaman kampus semester depan.

Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Dr Mohd Afandi Mat Rani berkata langkah itu bagi memastikan keselamatan pelajar terlibat kerana kawasan tersebut masih berbahaya dan pihaknya sedang menunggu tindakan kerajaan negeri.

"Kawasan berkenaan belum dibersihkan sepenuhnya. Jadi kita tidak galakkan pelajar menyewa di lokasi itu malah semua penuntut terbabit akan ditempatkan di kolej kediaman memandangkan pada semester depan, hanya 500 pelajar bagi pengambilan baharu selain kita mempunyai kapasiti mencukupi bagi tujuan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Mahabbah Kasih Ramadan UiTM Cawangan Kelantan bersama Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS) dan Rumah Kelantan Tiang 12 di sini, semalam.

Terdahulu, Tengku Puan Temenggong Kelantan Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berkenan menyempurnakan majlis berkenaan.

Mohd Afandi berkata isu berkenaan juga akan dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan dalam satu pertemuan minggu hadapan khususnya berhubung kerja-kerja penyelengaraan sisa tanah.

Dalam pada itu, beliau berkata program berkenaan bertujuan untuk berkongsi rezeki dengan golongan asnaf dan anak yatim yang menerima sumbangan wang dan barangan keperluan asas.

– BERNAMA

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search