OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

18 sekolah di Johor jadi PPS jika banjir ketika SPM 2023

18 sekolah di Johor jadi PPS jika banjir ketika SPM 2023

JOHOR BAHRU: Sebanyak 18 sekolah di enam daerah di negeri ini yang terbabit dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dikenal pasti akan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) jika banjir sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan berkata, dalam situasi itu, sebanyak 21 pusat peperiksaan akan terbabit di 18 sekolah berkenaan yang dikenal pasti di Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Segamat, Kulai dan Tangkak.

Beliau berkata, sekiranya PPS terpaksa dibuka di sekolah berkenaan, peperiksaan SPM masih dijalankan seperti biasa.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, perjalanan SPM 2023 di negeri ini mahu pun di seluruh negara dalam keadaan baik dan akses ke pusat-pusat peperiksaan boleh dilalui dengan selamat.

"Laporan pagi ini, perjalanan SPM tidak ada masalah terutamanya akses ke pusat peperiksaan boleh dilalui, walaupun ada negeri yang masih dilanda banjir.

"Taklimat sudah diberikan kepada sekolah yang dikenal pasti untuk dijadikan PPS supaya mereka dapat menyediakan bilik khas untuk menempatkan mangsa banjir yang tidak mengganggu perjalanan peperiksaan di sekolah terbabit," katanya pada sidang media selepas Lawatan Kerja sempena Hari Pertama Peperiksaan Bertulis SPM 2023 di Sekolah Tun Fatimah (STF) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Sektor Pengurusan Sekolah), Anuar Sukiran; Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Saliman Selamat; Pengetua STF, Radziah Mohd Din dan Focal Person Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan, Datuk Yahya Jaafar.

Sementara itu, Azman berkata, sebanyak 58 pusat peperiksaan dan laluan ke pusat peperiksaan di negeri ini turut dikenal pasti berisiko berdepan banjir sepanjang tempoh peperiksaan ini.

Terdahulu, Azman turut menyampaikan kata-kata semangat kepada 148 calon di STF termasuk anak bongsunya, Farah Amira Aqilah Azman yang turut sama menduduki SPM 2023 dengan peperiksaan bertulis bermula hari ini.

Seramai 395,870 calon menduduki SPM 2023 di seluruh negara dengan 3,340 pusat peperiksaan.

Di Johor, seramai 48,426 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2023 di 364 pusat peperiksaan membabitkan 301 sekolah di negeri ini.

Menurut Azman, daripada jumlah keseluruhan calon itu, seramai 161 orang adalah calon berkeperluan pendidikan khas.

"Seramai 5,018 orang petugas peperiksaan termasuk ketua pengawas, penyelia kawasan dan petugas guru, bertugas di Johor bagi SPM kali ini," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search