JBPM tumpu tiga kawasan dijangka jadi punca kebakaran ketika musim kering
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menumpukan kepada tiga kawasan yang dijangka menjadi punca kebakaran ketika negara berdepan musim kering.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata kawasan itu membabitkan tanah gambut, pelupusan sampah haram dan tapak pelupusan sampah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, JBPM mengesan lebih 400 kawasan titik panas di seluruh negara, setakat ini dan menjangkakan negara berdepan musim kering lebih teruk berbanding tiga tahun sebelum ini.
Katanya, perkara ini akan menyebabkan berlaku lonjakan kebakaran kepada beberapa lokasi utama dan menjadi kerisauan kepada JBPM.
"Lokasi dijangka berlaku kebakaran adalah di kawasan tanah gambut membabitkan Selangor, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Datuk Ahmad Izram Osman dan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Nordin Pauzi.
Nor Hisham berkata, jumlah pembakaran ini akan berlaku lonjakan sekiranya orang ramai memulakan aktiviti pembakaran membabitkan pencari sampah di kawasan pembuang sampah haram dan domestik PBT.
Katanya, cabaran dihadapi pasukan JBPM adalah ia sukar dipadamkan dan mengambil masa yang lama serta memerlukan kos tinggi.
Pada 2023, katanya, sebanyak 100 kes pendakwaan sudah dibawa ke mahkamah dan berjaya memperoleh RM518,300 bayaran denda atas pelanggaran Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).
Nor Hisham berkata, sebanyak 96 kes telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dengan jumlah 221 pertuduhan manakala empat kes pendakwaan (12 pertuduhan) membabitkan orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah dan akan menjalani proses perbicaraan.