OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Tangguh tanam padi boleh ganggu jadual, risiko menuai musim banjir

Tangguh tanam padi boleh ganggu jadual, risiko menuai musim banjir

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mempertahankan saranan agar para petani di kawasan itu melakukan penanaman padi menggunakan kaedah tabur terus kering (TTK) seperti dicadang sebelum ini.

Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, meskipun cadangan itu bukan langkah yang wajib diikuti para pesawah, ia merupakan satu-satunya kaedah yang ada ketika kekurangan sumber air pada masa ini.

Beliau berkata, sekiranya para pesawah memilih untuk menangguhkan tanaman padi ia dikhuatiri akan mendatangkan risiko lain termasuk menghadapi musim banjir yang sering melanda Kedah sekitar Oktober setiap tahun.

“Kalau mereka nak tunggu ada air atau berlaku hujan, berapa lama tempoh menunggu itu sebab Jabatan Meteorologi ada menyebut Jun nanti akan berlaku El Nino yang cuacanya lebih panas dan kering.

“Katakan mereka tunggu sehingga melebihi jadual penanaman yang dicadangkan bagi Musim 1/2026 iaitu contohnya Jun baru mula, apabila dicampur empat bulan maka padi hanya akan masak pada Oktober iaitu musim banjir.

“Jadi, padi mereka yang elok-elok hidup di sawah itu tak sempat nak tuai berdepan risiko ditenggelami banjir pula, sebab itu jadual kita cadangkan sudah mengambil kira untuk elak banjir berkenaan. Sebagai agensi, ini nasihat yang MADA boleh sampaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengikut perancangan, MADA bersetuju agar tarikh akhir pembajakan pertama bagi Fasa 1 adalah pada 15 April ini, diikuti Fasa Il pada 29 April dan Fasa III (13 Mei), sementara tarikh akhir menabur kering Fasa 1 ditetapkan pada 15 Mei, Fasa Il (29 Mei) dan Fasa III (12 Jun) yang melibatkan keseluruhan 100,641 hektar sawah.

Dr. Ismail berkata, kaedah TTK yang pernah dilaksanakan pada 1987, 1991, 1992 dan 1993 di kawasan MADA bukan lagi satu percubaan tetapi berdasarkan ulasan teknikal disebabkan ketidakcukupan bekalan air pada permulaan musim.

Ujar beliau, dalam situasi sekarang, ketiga-tiga empangan di bawah MADA tidak mampu untuk membekalkan air kepada sawah bagi proses menabur benih pada peringkat awal kerana paras air terkini berada pada tahap 39.21 peratus.

“Paras yang mampu untuk kita lepaskan air untuk tanaman padi adalah perlu di atas 45 peratus atau 550,000 ekor kaki. Jadi apabila menyusut kita hanya berupaya melepaskan sumber itu untuk loji rawatan air (LRA) beroperasi.

“Jadi apabila bekalan air tidak mampu untuk disalurkan, keedah mana lagi untuk kita mulakan tanaman padi kita. Tidak ada cara lain. Atau kita boleh tunggu sehingga bekalan air cukup yang kita tak tahu bila, mungkin sebulan, mungkin dua bulan atau mungkin tiga bulan akan datang,” katanya.

Tambah beliau, rekod pada 2017 dan 2020 juga wajar menjadi sandaran apabila kaedah TTK yang dicadangkan pada musim pertama tahun berkenaan tidak diteruskan kerana bekalan air kembali stabil ekoran hujan.

Maka, kata Dr. Ismail, kaedah tanaman padi ketika itu kembali diubah kepada secara tabur basah yang kemudiannya memberi hasil antara 5.98 dan 5.96 tan per hektar. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search