OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

1,200 hektar bendang KADA terjejas banjir, rugi RM7.64 juta

1,200 hektar bendang KADA terjejas banjir, rugi RM7.64 juta

KOTA BHARU: Sebanyak 1,200 hektar kawasan bendang dalam Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terjejas banjir dengan nilai kerosakan tanaman dianggarkan bernilai RM7.46 juta.

Pengerusi KADA, Khalid Abd. Samad berkata, kebanyakan kawasan bendang terjejas banjir adalah di sekitar jajahan Bachok, dekat sini dengan bilangan keseluruhan petani terlibat seramai 465 orang.

Katanya, petani terlibat bagaimanapun bernasib baik apabila keseluruhan tanaman pada musim satu tahun 2025 yang berakhir pada Disember lalu dilindungi insurans, membolehkan mereka mendapat pampasan untuk kerugian dialami.

“Nilai keseluruhan tuntutan kepada Agrobank adalah RM3.587 juta tetapi boleh dikatakan prestasi pengeluaran hasil bagi musim satu 2025 agak memuaskan dengan keadaan cuaca menyebelahi kita.

“Kita juga mendapati bencana banjir yang melanda Kelantan pada penghujung tahun lalu tidak mendatangkan masalah besar kepada bendang-bendang di kawasan KADA,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KADA, di sini semalam.

Menurut Khalid, bagi musim dua 2025, seluas 7,000 hektar bendang KADA memulakan penanaman padi manakala sekitar 10,000 hektar siap dibajak tetapi belum memulakan proses penanaman.

“Secara umum, segalanya berjalan ikut jadual dan kita berusaha mencapai sasaran ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menambah jumlah kawasan penanaman dan meningkatkan hasil melebihi empat tan sehektar,” katanya.

Beliau sedar bahawa penanaman musim kedua kebiasaannya berdepan ancaman kemarau dan berharap Stesen Pam Kemubu Tiga dan Empat dapat disiapkan pada hujung bulan ini.

“Sepatutnya ia sudah siap tetapi kerja-kerja akhir terpaksa ditangguhkan apabila paras air terlalu tinggi. Penyiapan dua stesen ini dijangka dapat menangani masalah pengairan sawah pada musim kemarau kerana ia berupaya menyedut air pada paras serendah satu meter.

“Apabila siap sepenuhnya, kita berhasrat menjemput Perdana Menteri merasmikannya kerana Stesen Kemubu Empat dilancarkan serta diberikan peruntukan khas RM20 juta oleh beliau sendiri,” katanya. –UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search