Prabowo sambut Tahun Baharu bersama mangsa banjir Sumatera Utara
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyambut Tahun Baharu bersama penduduk yang terjejas akibat bencana di Tapanuli Selatan, Sumatera Utara, menerusi lawatan ke pusat pemindahan Batu Hula di Batang Toru, sekali gus menzahirkan keutamaan pentadbirannya terhadap usaha pemulihan pascabencana.
Semalam, Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya berkata, pada malam ambang Tahun Baharu, Prabowo akan bermalam di Tapanuli Selatan dan berkemungkinan makan malam bersama penduduk setempat, bertukar ucapan serta menonton tayangan filem menggunakan pawagam bergerak.
Menurut beliau, kebanyakan penduduk yang dipindahkan akibat bencana di Batang Toru sudah kembali ke kediaman masing-masing, namun pusat pemindahan itu masih beroperasi sebagai pusat perkhidmatan awam dan penyelarasan komuniti.
Pusat berkenaan terus menyediakan dapur awam, stor logistik serta kemudahan perkhidmatan asas bagi menyokong penduduk yang datang mendapatkan keperluan atau memantau bantuan pemulihan yang sedang dilaksanakan.
Sepanjang lawatan itu, Prabowo turut dijadual meninjau kemajuan kerja pemulihan pascabencana, termasuk pemulihan infrastruktur yang bertujuan memulihkan mobiliti dan aktiviti ekonomi di kawasan terjejas.
Kunjungan Probowo ke Tapanuli Selatan mencerminkan komitmennya untuk memantau secara langsung pelaksanaan program pemulihan kerajaan, khususnya projek utama seperti pembinaan jambatan Bailey bagi menghubungkan semula komuniti yang terputus hubungan.
Prabowo bersama rombongan tiba di Lapangan Terbang Sisingamangaraja di Tapanuli Utara pada petang Rabu sebelum meneruskan perjalanan menaiki helikopter Caracal dan mendarat di kawasan PTPN IV berhampiran zon bencana.
Dari situ, Probowo berjalan kaki ke tapak pembinaan jambatan Bailey bagi menilai keadaan di lapangan serta berinteraksi dengan pegawai tempatan yang menyelia kerja-kerja pembinaan.
Jambatan sementara sepanjang 44 meter itu direka untuk menampung beban sehingga 25 tan dan dijangka memulihkan akses pengangkutan penting yang terjejas akibat bencana.
Dalam tinjauan tersebut, Prabowo turut mendengar aspirasi dan kebimbangan penduduk setempat termasuk bekas mangsa pemindahan dan pekerja yang terlibat dalam usaha pembinaan semula.
Sebelum ini, Menteri Sekretariat Negara berkata, lawatan berkenaan mencerminkan komitmen Prabowo untuk memastikan proses pemulihan dan pembinaan semula di tiga wilayah yang terjejas bencana dilaksanakan mengikut jadual serta memberi manfaat kepada komuniti terlibat. -AGENSI
