Negara dijangka berdepan lagi beberapa gelombang hujan lebat
- Admin UKK
- Berita
Kota Bharu: Negara diramal berdepan beberapa lagi gelombang hujan lebat pada bulan-bulan akan datang yang boleh menyebabkan banjir lebih teruk berikutan Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Ia kerana tanah sudah tepu akibat serapan air pada gelombang awal yang menyebabkan risiko banjir pada gelombang hujan seterusnya lebih besar.
Banjir di 10 negeri sejak beberapa hari lalu adalah episod pertama MTL bagi tahun ini yang menyebabkan lebih 20,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad, berkata cuaca yang sedang melanda negeri Pantai Timur pada masa ini menandakan permulaan kepada siri episod hujan monsun yang dijangka berterusan sehingga awal tahun depan.
“Secara teknikalnya, kita baru melangkah ke fasa awal MTL. “Apa yang kita alami sekarang boleh dianggap sebagai episod pertama gelombang monsun.
“Berdasarkan corak kaji cuaca dan unjuran Metmalaysia, orang ramai perlu bersiap sedia untuk beberapa beberapa lagi episod yang akan menyusul,” katanya.
Beliau berkata episod awal MTL lazimnya melanda Kelantan dan Terengganu, manakala Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak dijangka mengalami hujan lebih lebat dalam episod yang diramalkan pada Disember dan Januari ini.
Beliau berkata, Malaysia biasanya merekodkan antara empat hingga enam episod hujan lebat sepanjang musim MTL dari November hingga Mac.
“Ini bermakna apabila hujan reda atau banjir surut, ia bukan petanda bahawa musim monsun berakhir. “Ini mungkin hanya jeda sementara sebelum gelombang seterusnya tiba,” katanya.
Beliau berkata, tempoh kemuncak dijangka antara pertengahan bulan depan hingga Januari ini, ketika risiko banjir besar lebih tinggi kerana tanah sudah tepu akibat episod sebelumnya,” katanya.
Aset bomba berjaga-jaga
Nor Hisham berkata, semua aset bomba dan penyelamat di seluruh negara kini berada dalam keadaan berjaga-jaga.
“Ujian peralatan dilakukan dua kali setiap hari, termasuk enjin bot, gergaji rantai bagi pokok tumbang dan penjana kuasa,” katanya.
Semua anggota turut dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap termasuk jaket keselamatan dan lampu suluh terutama bagi operasi berisiko tinggi pada waktu malam.
“Balai bomba di peringkat lokaliti juga sudah menyiapkan pemetaan laluan bagi mengenal pasti jalan alternatif ke kampung pedalaman sekiranya laluan utama dinaiki air,” katanya.
Di peringkat zon pula, mobilisasi rentas balai akan diaktifkan segera jika mana-mana balai berdepan beban tugas berlebihan semasa operasi banjir.
Bekalan logistik tambahan juga sedang distruktur di hab zon bagi memastikan penghantaran dapat dilakukan dengan cepat apabila diperlukan.
Nor Hisham berkata, rangkaian komunikasi radio jabatan kekal lancar melalui Government Integrated Radio Network yang berfungsi walaupun rangkaian telefon mudah alih terganggu ketika banjir.
