OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Siap sedia hadapi bencana

Siap sedia hadapi bencana

DALAM tempoh lima tahun kebelakangan ini, Malaysia berdepan dengan pelbagai tragedi bencana alam yang menguji daya tahan negara. Baik dari banjir besar di Pahang dan Johor, tanah runtuh di Batang Kali, sehinggalah kejadian ribut serta gelombang haba yang menjejaskan kehidupan ribuan rakyat.

Bencana demi bencana ini bukan sekadar statistik atau laporan di media, tetapi cerminan kepada ujian ketahanan fizikal, mental dan spiritual seluruh warga Malaysia. Ia juga menjadi peringatan bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan lagi pilihan, tetapi tuntutan kehidupan moden yang semakin mencabar.

Dalam menghadapi dugaan alam, masyarakat tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan logistik dan aset semata-mata. Aspek spiritual dan kemanusiaan turut memainkan peranan besar dalam membentuk ketenangan dan kekuatan dalaman sewaktu musibah melanda.

Kekuatan iman, nilai sabar dan rasa tanggungjawab sesama insan menjadi benteng utama apabila bencana datang tanpa amaran. Justeru, peranan agamawan dan ilmuwan amat penting dalam memupuk kefahaman bahawa menghadapi bencana juga adalah sebahagian daripada ibadah. Ia satu medan untuk manusia saling membantu dan memperkukuh ukhuwah.

Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Negara (BKN) 2025 yang dilancarkan baru-baru ini bukan sekadar perhimpunan tahunan, bukan sekadar simbolik. Ia adalah isyarat nasional bahawa kesiapsiagaan mesti menjadi budaya rakyat Malaysia dari kementerian hingga komuniti, dari pemimpin hingga rakyat biasa.

Hanya dengan itu, Malaysia akan kekal selamat, tangkas dan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan.

Antara inisiatif sempena BKN 2025 yang digerakkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) ialah menerusi program Rehlah Perdana diadakan di Masjid Tengku Ahmad, Taman LKNP, Jerantut, Pahang.

Majlis yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu adalah manifestasi semangat kebersamaan dalam membina kesiapsiagaan nasional berteraskan hikmah dan nilai keagamaan.

Ia menggabungkan pengisian rohani, latihan komuniti dan sesi perkongsian ilmu bagi memperkukuh kefahaman bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab terhadap keselamatan diri dan masyarakat.

Ibadah di sebalik kesiapsiagaan
Kata-kata Maulana Helmi, Pengasas Madrasah An-Nabawiyyah Lid Dirasatil Islamiyyah Pulau Tawar, yang turut hadir dalam program itu, cukup mendalam maknanya. Katanya, setiap daripada kita memiliki peranan dalam membina keselamatan ummah. Ilmuwan menyumbang dengan ilmunya, agamawan dengan dakwahnya, pemimpin dengan amanahnya, dan para petugas Nadma dengan pengorbanannya.

Menurut Ahmad Zahid, usaha mereka tidak wajar dipandang kecil kerana menyelamatkan nyawa dan bersiap siaga sebelum bencana melanda itulah juga ibadah yang besar pahalanya di sisi Allah.

“Ungkapan ini mengingatkan kita bahawa tugas-tugas kemanusiaan bukan sekadar kerja teknikal, tetapi amanah spiritual yang menjanjikan ganjaran besar. Petugas di lapangan, sukarelawan, imam, guru, dan pemimpin masyarakat, semuanya memainkan peranan tersendiri dalam menghidupkan semangat ukhuwah insaniyyah,” katanya.

Membina masyarakat siaga dan berjiwa ihsan
Namun, dari setiap tragedi lahir kisah kemanusiaan yang menyentuh hati, kisah anggota penyelamat yang sanggup bergadai nyawa, jiran yang membantu tanpa mengira agama, serta komuniti masjid dan gereja yang membuka ruang sebagai pusat perlindungan sementara.

Inilah wajah sebenar Malaysia, masyarakat yang berjiwa besar, bersatu dalam ujian, dan sentiasa belajar memperbaiki diri untuk masa depan yang lebih siaga dan berdaya tahan.

Menyedari ancaman bencana yang semakin kompleks akibat perubahan iklim global, Nadma terus memperkukuh dasar dan latihan kesiapsiagaan melalui pendekatan bersepadu antara agensi kerajaan, komuniti dan institusi agama.

Dalam konteks ini, pendekatan spiritual seperti yang diterapkan dalam program Rehlah Madani Siaga memberi makna yang lebih mendalam, bahawa kesiapsiagaan bukan sekadar urusan logistik, tetapi juga proses mendidik hati agar sentiasa reda, sabar, dan bersedia menghadapi takdir dengan usaha dan doa.

Kesiapsiagaan bencana
Di samping aspek spiritual, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat telah menggembleng usaha bersama bagi memberi tumpuan segera kepada persiapan dan kesiapsiagaan Kerajaan Madani dalam menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.

Beliau telah mengarahkan supaya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di semua peringkat diaktifkan lebih awal bagi memastikan pemantauan dan koordinasi berjalan lancar sebelum bermulanya MTL.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan MTL 2025/2026 bermula awal November 2025 hingga penghujung Mac 2026, dan akan dipengaruhi oleh fenomena La Niña lemah. Keadaan ini membawa antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan, melebihi purata biasa lima episod setiap musim.

Negeri Sabah dijangka mengalami hujan melebihi paras purata dari November 2025 hingga Februari 2026, manakala kemuncak hujan dijangka pada Disember 2025, melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Risiko banjir besar akan meningkat sekiranya hujan berterusan berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar. Oleh itu, MET Malaysia akan mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada, Buruk, Bahaya) sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal bagi membolehkan tindakan pantas dilaksanakan.

Dari aspek persediaan mitigasi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengesahkan terdapat pengurangan ketara lokasi panas (hotspot) banjir daripada 4,619 lokasi (2024) kepada 3,682 lokasi (2025) menunjukkan perkembangan positif hasil daripada pelaksanaan projek mitigasi kerajaan.

“Walaupun begitu, kita tidak boleh menafikan bahawa pembangunan pesat masih menyumbang kepada risiko banjir. Maka komitmen negeri amat diperlukan untuk memastikan usaha pencegahan banjir dapat dilaksanakan secara berkesan,” kata Ahmad Zahid.

Pada masa sama, kerajaan menubuhkan sebuah Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) di daerah Jerantut, Pahang sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana di peringkat komuniti.

Projek ini dijangka dimulakan pada tahun depan dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi teknikal berkaitan. Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga melaporkan sebanyak 110 kejadian tanah runtuh di Pantai Barat Sabah telah berlaku sehingga 19 September 2025 yang telah mengorbankan 13 nyawa.

Sejumlah 34 lokasi cerun kritikal berisiko tinggi kini dipasang dengan Sistem Amaran Awal (EWS) bencana geologi tanah runtuh.

“Saya telah memberi mandat kepada JMG sebagai penyelaras pemantauan cerun berisiko di seluruh negara serta perlu kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain dan juga pihak swasta,” katanya.

Bencana mungkin datang tanpa diduga, namun cara kita bersedia dan bertindak menentukan kekuatan bangsa. Di sebalik setiap bencana, ada hikmah yang mengajar kita untuk lebih bersyukur, lebih bersiap siaga, dan lebih bersatu sebagai satu ummah. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Putrajaya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search