Gelombang haba di Eropah catat rekod tertinggi
- Admin UKK
- Berita
LAS MEDULAS: Seorang kanak-kanak lelaki maut akibat strok haba di Itali manakala kebakaran hutan mengancam tapak UNESCO di Sepanyol.
Kanak-kanak lelaki Romania berusia empat tahun itu meninggal dunia di Itali beberapa hari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta keluarganya di pulau Sardinia.
Secara keseluruhan, dianggarkan lebih 5,000 kematian dicatatkan di seluruh Eropah disebabkan secara langsung atau tidak langsung oleh gelombang haba.
Di Perancis, pihak berkuasa kesihatan melaporkan lebih 1,500 kematian berkaitan haba pada separuh pertama Julai.
Di Sepanyol, sekurang-kurangnya 13 kematian dilaporkan di bandar Zaragoza sahaja dalam Julai manakala lebih 300 kematian dicatatkan di United Kingdom (UK), dengan golongan warga emas menjadi mangsa utama.
Kementerian kesihatan Itali mengeluarkan amaran amaran merah untuk tujuh bandar utama, termasuk Bologna dan Florence.
Kira-kira 11 bandar Itali berada dalam amaran merah sejak semalam dan 16 bandar pada hari ini. Amaran merah juga diumumkan di selatan Perancis dan di pantai Adriatik serta Ionia di Balkan.
"Gelombang haba yang sedang melanda Perancis, Sepanyol dan negara-negara Balkan tidak mengejutkan.
Ia didorong oleh kubah haba yang berterusan di Eropah," kata Akshay Deoras, seorang saintis penyelidik di jabatan meteorologi di Universiti Reading Britain, kepada AFP.
Ribuan orang diarahkan berpindah di seluruh Eropah sementara kebakaran hutan semakin merebak akibat ditiup angin kencang mengancam tapak pelancongan popular di Turkiye dan Sepanyol.
Kebakaran, yang berlaku pada Ahad, merosakkan tapak perlombongan era Rom yang tersenarai dalam Warisan Dunia UNESCO di Les Medulas di barat laut Sepanyol, terkenal dengan landskap merah yang menarik, memaksa ratusan penduduk berpindah.
Suhu tinggi dan angin sehingga 40 kilometer sejam (km/j) menyukarkan anggota bomba yang bergelut untuk mengawal kebakaran, kata Menteri Alam Sekitar wilayah Castile dan Leon, Juan Carlos Suarez-Quinones, .
Sepanyol dilanda gelombang panas sejak seminggu lalu, dengan suhu menghampiri 40 darjah Celsius di banyak kawasan dan mencetuskan kebakaran hutan.
Di negara jiran Portugal, anggota bomba berdepan tiga kebakaran hutan besar di tengah dan utara negara itu, manakala Maghribi menghantar dua pesawat untuk membantu memadam kebakaran selepas dua pesawat Portugis rosak.
Di Itali, kira-kira 190 anggota bomba dan tentera sedang menangani kebakaran hutan di Gunung Vesuvius yang menyebabkan penutupan taman negara kepada pelancong.
Orang ramai dipindahkan dari berpuluh-puluh rumah di Balkan ketika anggota bomba memadamkan kebakaran di Albania, Montenegro dan Croatia, di mana amaran merah diumumkan.
Di Albania, ratusan anggota bomba dan askar memadamkan kebanyakan daripada hampir 40 kebakaran yang marak dalam tempoh 24 jam yang lalu, menurut kementerian pertahanan, tetapi lebih 12 lagi masih aktif.
Di wilayah Canakkale di barat laut Turkiye, lebih 2,000 orang dipindahkan dan 77 orang menerima rawatan hospital kerana terhidu asap selepas beberapa kebakaran berlaku di sekitar perkampungan pelancongan Guzelyali, kata pihak berkuasa.
Beberapa rumah dan kereta terbakar, menurut imej yang ditunjukkan di media Turkiye manakala lebih 760 anggota bomba, 10 kapal terbang, sembilan helikopter dan lebih 200 kenderaan dikerahkan untuk memadamkan api.
Gelombang panas, yang kedua di Perancis pada musim panas ini bermula pada Jumaat lalu dan diramalkan mungkin berlarutan sehingga 19 atau 20 Ogos.