Sabah lancar Pusat Kawalan Bencana Pertama di Malaysia
- Admin UKK
- Berita
KOTA KINABALU – Sebuah Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) yang pertama di Malaysia telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini pada Rabu.
Beliau berkata, SDCC yang dibiayai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu dibangunkan secara bersama oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
“SDCC juga akan memastikan tindakan yang lebih pantas dan tersusun ketika berlakunya bencana,” katanya semasa majlis perasmian SDCC tersebut.
Tambah Hajiji lagi, SDCC yang bernilai RM750,000 itu mengambil masa selama lapan bulan untuk disiapkan.
“SDCC akan dilengkapi dengan teknologi maklumat dan komunikasi terkini termasuk sistem persidangan video dan pangkalan data komprehensif untuk pengumpulan dan penganalisisan maklumat berkaitan bencana,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ariffin Arif; Timbalan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri, Datuk Ag Shahminan Ag Sahari selaku sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri; dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Mohd Yusoff Samad.