SMART jadi mentor SAR Russia, satu penghormatan kepada Malaysia - NADMA
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Pemilihan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sebagai mentor kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Rusia, RUS-03 disifatkan sebagai satu penghormatan besar kepada negara.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah berkata pemilihan itu membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan dan kecemerlangan SMART dalam melaksanakan misi SAR di peringkat antarabangsa.
Katanya latihan selama enam hari bermula Ahad lepas hingga esok itu adalah sebahagian daripada persediaan pasukan RUS-03 bagi menghadapi penilaian semula oleh Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG).
"Rusia memilih Malaysia sebagai mentor kepada latihan pasukan RUS-03, sekali gus menjadi pengiktirafan kepada kecekapan dan kecemerlangan pasukan SMART, khususnya ketika mengendalikan misi di Myanmar dan sebelum ini di Turkiye," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan rasmi Menteri Pertahanan Awam, Kecemasan dan Pengurusan Bencana Alam Rusia (EMERCOM) Kolonel Jeneral Alexander Kurenkov di Markas SMART di Puchong dekat sini semalam.
"Mengekalkan persijilan INSARAG bukan perkara mudah. Saya terlibat secara langsung dalam proses pengiktirafan pada 2016 dan selepas hampir satu dekad, saya sekali lagi diberi peluang untuk terlibat.
"Tetapi kali ini lebih mencabar kerana perhatian dunia kini tertumpu kepada Malaysia dan kita perlu memenuhi jangkaan serta standard tinggi yang telah ditetapkan," katanya.
Menurutnya pihak Rusia amat teruja dengan tahap profesionalisme, komitmen serta pendekatan latihan yang dilaksanakan oleh pasukan SMART, khususnya dalam aspek perkongsian teknik operasi dan amalan terbaik yang dipraktikkan Malaysia.
Beliau berkata latihan bersama itu membuka ruang kerjasama strategik antara kedua-dua negara apabila Rusia menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dalam beberapa bidang kepakaran selain menawarkan peluang latihan dan pengajian jangka pendek kepada anggota Malaysia.
"Perkara ini akan dibawa kepada perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana ia sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam pengurusan bencana," katanya.
– BERNAMA