Orang Asli tempuh perjalanan 10 jam akibat tanah runtuh
- Admin UKK
- Berita
GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Gob dan Pos Simpor di sini, terpaksa menempuh perjalanan hampir 10 jam untuk keluar mencari barangan keperluan makanan di Bandar Gua Musang selepas kejadian tanah runtuh berhampiran Bukit Kawug, kelmarin.
Hujan berterusan dalam tempoh lima jam Jumaat lalu menyebabkan berlaku runtuhan tanah menimbus jalan dan pokok tumbang.
Seorang penduduk Orang Asli Pos Gob, Along Apok, 40, berkata, kejadian tanah runtuh dipercayai berlaku pada malam Jumaat lalu dan disedari penduduk dalam perjalanan keluar ke bandar bagi membeli bekalan makanan.
Katanya, cuaca hujan yang sering berlaku di kawasan pedalaman pada sebelah petang menyumbang kepada kerosakan permukaan jalan bertanah merah apabila menjadi becak dan mudah mendap.
“Kejadian tanah runtuh di Jalan Pos Simpor menuju Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis itu mungkin berpunca daripada cuaca hujan yang berterusan dalam jangka masa panjang.
“Kami bertolak dari kampung pada pukul 9 pagi dan tiba di bandar Gua Musang pada pukul 7 malam akibat kejadian tanah runtuh dan jalan rosak,” katanya.
Penduduk Pos Simpor, Mohd. Syafiq Dendi Abdullah, 32, berkata, kejadian tanah runtuh disedari kira-kira pukul 9 pagi semalam apabila dia bersama 19 penduduk lain untuk melakukan urusan harian.
“Kami terpaksa mengangkat motosikal secara bergilir-gilir untuk melalui kawasan runtuh. Perjalanan menjadi lebih panjang iaitu memakan masa hampir 10 jam untuk sampai ke bandar berbanding tiga jam,” katanya.
Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, pihaknya telah menerima aduan kejadian dan akan berbincang dengan kontraktor membuat kerja-kerja jalan serta pihak ladang bagi melakukan kerja pembersihan.-UTUSAN