Bapa dukung bayi dalam gelap, redah hujan lebat, banjir paras pinggang
- Admin UKK
- Berita
SUNGAI BULOH - Dalam kegelapan awal pagi, seorang ayah nekad meredah hujan lebat dan air banjir separas pinggang demi menyelamatkan bayi perempuannya berusia empat bulan susulan banjir kilat di Kampung Kubu Gajah di sini pada Rabu.
Berkongsi detik cemas, Muhammad Yusuf Kamarudin, 31, berkata dia tidak menyangka air naik begitu cepat selepas hujan lebat bemula sejak 3 pagi, hingga tidak sempat menyelamatkan harta benda penting di rumahnya termasuk barangan elektrik.
"Jadi, saya dukung anak redah hujan lebat dan banjir separas pinggang ke pondok berdekatan sebelum dibawa ke jalan utama dengan sampan oleh jiran yang kebetulan lalu di situ. Mujur saya sempat keluar sebelum air naik lebih tinggi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa membersihkan rumahnya pada Khamis.
Muhammad Yusuf dan keluarga merupakan 27 keluarga yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan MBSA Seri Pagi Paras Jaya sebelum pusat pemindahan berkenaan ditutup lewat petang tadi.
Sementara itu, Saniah Kosnan, 60, pemilik Butik Pengantin Mempelai Bestari berkata dia kerugian hampir RM10,000 selepas butiknya yang terletak di kampung tersebut turut dinaiki air.
"Semalam saya sedar air mula naik dan masuk ke dalam rumah 5 pagi. Saya hanya sempat selamatkan beberapa barangan di rumah namun tidak sempat untuk ke butik saya yang terletak berhampiran dengan rumah kerana air naik terlalu cepat.
"Mujur suami saya mempunyai sampan, jadi kami sekeluarga dapat ke jalan utama untuk selamatkan diri,” katanya.
Saniah berkata antara barangan di butiknya yang rosak termasuk baju pengantin, bunga hiasan, permaidani, kerusi pelamin serta barangan elektrik seperti lampu hiasan.
Pada Rabu, kira-kira 100 keluarga di Kampung Kubu Gajah terjejas banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi dan antara kawasan lain yang terkesan Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Subang Jaya. - Bernama