JKR segerakan baiki kemudahan rosak akibat banjir di Johor
- Admin UKK
- Berita
Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata kerja pembaikan akan segera dibuat selepas proses penilaian kerosakan siap.
PETALING JAYA:Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyegerakan proses memperbaiki kemudahan asas seperti jalan raya dan jambatan yang rosak akibat banjir di Johor.
Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata kerja itu akan dilakukan selepas proses penilaian dibuat oleh jawatankuasa teknikal di setiap daerah terjejas.
“Kita telah minta penilaian dibuat supaya kerosakan kemudahan asas seperti jalan raya dan jambatan dapat diperbaiki segera,” katanya kepada FMT.
Situasi banjir di Johor menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 10,630 orang setakat 12 tengah hari tadi, berbanding 13,089 direkodkan 8 pagi.
Johor Bahru mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 5,550 orang di 27 PPS, diikuti Pontian (1,954), Kluang (1,839), Kulai (968), Batu Pahat (211) dan Kota Tinggi (108).
Tiga sungai masih berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lenik, Sungai Kahang dan Sungai Pulai manakala tiga jalan utama masih ditutup.
Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berharap projek tebatan banjir yang telah diluluskan kerajaan dapat dilaksanakan segera untuk mengurangkan risiko bencana.
Gesaan sama juga dibuat Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan pentadbirannya tidak akan berkompromi terhadap pihak mengambil mudah atau melengahkan pelaksanaan projek tebatan banjir di negeri itu.