Bangunan Pusat Latihan APM hampir musnah dalam kebakaran
- Admin UKK
- Berita
BALING: Bahagian hadapan sebuah Pusat Latihan Angkatan Pertahanan Awam (PULAPA) di Jalan Weng Kampung Seberang Pekan, di sini hampir musnah dalam kebakaran, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada jam 2.30 petang.
Beliau mengetuai sepasukan anggota dari BBP Baling dan dibantu sepasukan anggota dari BBP Pengkalan Hulu, Perak yang keseluruhannya seramai 20 anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Kuala Pegang, Sungai Lalang dan Belia 4B serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan struktur bangunan pada bahagian hadapan bangunan APM Baling.
"Ketika kejadian, 30 kakitangan APM pelbagai pangkat terselamat dalam kebakaran yang membabitkan bahagian struktur tambahan dan pusat kawalan operasi agensi berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, tindakan pemadaman membuat pengawalan di bahagian hadapan, sisi kiri dan kanan bangunan.
Beliau berkata, cabaran utama pemadaman adalah disebabkan faktor angin serta pili bomba yang berada pada jarak 500 meter manakala pili bomba berhampiran rosak akibat vendalisma.
"Bomba mengambil masa 50 minit untuk mengawal dan memadam kebakaran pada bahagian membabitkan struktur tambahan simpanan peralatan APM dan logistik serta bilik PKOD (Pusat Kawalan Operasi Daerah) dan bekalan elektrik masih ada ketika kerja-kerja pemadaman dilakukan.
"Punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.