OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

RM21.16 juta BWI diagih kepada isi rumah terjejas bah di Kelantan

RM21.16 juta BWI diagih kepada isi rumah terjejas bah di Kelantan

Kuala Lumpur: Sebanyak RM21.16 juta Bantuan Wang Ihsan (BWI) sudah diagihkan kepada 21,156 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di Kelantan pada November lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata maklumat bilangan KIR yang terjejas dan nilai agihan BWI juga sedang dikemas kini oleh daerah dan negeri secara bulanan sebelum jumlah keseluruhan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 dapat dijana dan dilaporkan secara menyeluruh.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata bagi Monsun MTL 2024/2025, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah menyalurkan peruntukan awal bantuan bencana berjumlah RM50 juta kepada Kelantan bagi pemberian BWI kepada mangsa bencana yang terjejas dan memenuhi syarat kelayakan.

“Proses pengagihan BWI bermula dengan penyediaan senarai nama mangsa bencana yang mendaftar atau dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Maklumat itu akan disemak dan disahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan seterusnya akan mengagihkan BWI kepada KIR berdasarkan senarai akhir yang diterima daripada JPBN bagi memastikan bantuan sampai kepada penerima yang layak dengan tepat dan teratur,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pnkuala Krai) mengenai masa yang diambil untuk kerajaan membuat bayaran BWI banjir kepada isi rumah yang terjejas banjir akhir November lalu di Kelantan.

Terus laksana IPG

Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata kerajaan akan meneruskan pelaksanaan mekanisme Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi memastikan pekebun kecil memperoleh harga lantai minimum walaupun harga pasaran getah rendah.

Inisiatif itu dilaksanakan selepas mengambil kira cabaran dihadapi pekebun kecil dan sektor perladangan disebabkan pelbagai faktor antaranya ketidakstabilan harga getah, kekurangan tenaga buruh dan ancaman penyakit tanaman.

Bagaimanapun, beliau berkata, trend harga di atas paras pengaktifan IPG, iaitu RM3 per kilogram sejak Mac tahun lalu di Semenanjung memberi sedikit kelegaan kepada pekebun kecil getah.

Selain itu, katanya, kerajaan akan meneruskan dan memperkukuh penyertaan dalam International Tripartite Rubber Council (ITRC), terutama negara pengeluar utama untuk mengawal bekalan dan meningkatkan penggunaan getah asli pada peringkat global.

“Kerajaan turut menyedari hakikat kekurangan tenaga kerja tempatan dan asing dalam sektor huluan industri getah terutama penoreh getah. “Sebagai langkah strategik, kementerian ini bersama agensi pelaksana, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta yang berada dalam rantaian bekalan sedang membangunkan model konsolidasi dan kluster,” katanya.

Proses ambil tanah PLSB

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memberi jaminan proses pengambilan tanah bagi pembangunan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kelantan akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

Perdana Menteri berkata, ia bagi membolehkan pelaksanaan projek berkenaan dipercepatkan dalam usaha menangani masalah banjir di negeri itu.

Beliau antara lain memaklumkan fasa I, II dan II bagi projek tebatan banjir di Rantau Panjang, termasuk yang diselenggara Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut disekalikan bagi tujuan sama.

Projek disenggara MKN itu membabitkan rundingan Sungai Golok-rantau Panjang di Kelantan serta kerja mengorek dan membersihkan muara Sungai Golok antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Thailand.

“(Proses) menyegerakan (pelaksanaan projek berkenaan) bermakna (terdapat kos) RM2 bilion tambahan, pada masa sama, apabila kita menyegerakan penjimatan kos ketiga-tiga fasa PLSB Sungai Golok ini kita jimat RM1.7 bilion,” katanya yang juga Menteri Kewangan pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search