Banjir: PM jamin percepat PLSB Sungai Golok, jimat kos RM1.7 bilion
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan proses pengambilan tanah bagi pembangunan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kelantan akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, ia sebagai usaha mempercepatkan pelaksanaan projek itu untuk mengatasi masalah banjir di negeri berkenaan.
Ahli Parlimen Tambun itu turut memaklumkan, fasa I, II dan III projek tebatan banjir di Rantau Panjang termasuk disenggara Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Dengan menyegerakan bermakna RM2 bilion tambahan (dibelanjakan), dalam masa sama penjimatan kos bagi tiga fasa PLSB Sungai Golok adalah RM1.7 bilion.
"Sebab itu saya katakan, soal tatakelola dan ketelusan projek harus dijaga," katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mengenai langkah proaktif kerajaan menangani banjir setiap kali musim monsun dan faktor luar jangka di kawasan sering serta berpotensi dilanda bah.
Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, penggabungan tiga fasa PLSB dan projek disenggara MKN ekoran melibatkan rundingan Sungai Golok-Rantau Panjang termasuk kerja mengorek dan membersihkan muara Sungai Golok antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Thailand.
Sementara itu Anwar menjelaskan, kerajaan turut mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi melaksanakan Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT) di Johor dengan kos RM1.64 bilion.
"Dua projek di Batu Pahat dan Ledang, maknanya projek-projek ini diawalkan 12 bulan daripada unjuran awal perancangan projek kerana ia mengambil masa.
"Kerajaan sejak 2024 telah beri kelonggaran kepada kerajaan negeri (gunakan) wang Marris (Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia) termasuk untuk menyediakan Jambatan Bailey," jelasnya.