OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Penyelamat redah arus deras hantar bantuan

Penyelamat redah arus deras hantar bantuan

Kuching: Pasukan penyelamat terpaksa meredah arus sungai yang deras untuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk yang terputus hubungan sejak banjir melanda enam hari lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, beberapa bot digunakan pihaknya serta agensi lain untuk melakukan penghantaran itu.

Katanya, penghantaran menggunakan bot itu antaranya dijalankan di Kanowit (Sibu), Sebauh dan Tatau (Bintulu), Sebuyau (Samarahan) serta Serian.

“Bot meredah arus Sungai Sujan di Sebauh untuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk rumah panjang.

“Bomba menghantar 51 pek makanan yang keseluruhannya seberat 816 kilogram untuk diagihkan kepada penduduk di dua rumah panjang,” katanya.

Beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Lembaga Sungai-sungai Sarawak turut menggerakkan bot masing-masing untuk menghantar bekalan makanan di Sebauh.

Katanya, di Kanowit, bomba dan Pasukan Polis Marin (PPM) menggerakkan aset masing-masing untuk menghantar bekalan makanan kepada tiga rumah panjang iaitu Rumah Panjang Ricky di Teluk Legam, Rumah Panjang Jelani Nanga Lesih dan Rumah Panjang Adau Nanga Bunut.

“PPM menggunakan satu bot dan satu bot penduduk kampung untuk menghantar bekalan ke rumah panjang itu. “Sebanyak 93 pek makanan seberat 930 kilogram dihantar ke tiga rumah panjang itu,” katanya.

Mangsa di PPS menurun. Sementara itu, penduduk yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak menurun petang semalam.

Setakat jam 2.30 petang, seramai 12,163 daripada 3,618 keluarga berada di 63 PPS, berkurang 158 orang berbanding seramai 12,321 mangsa pada jam 8 pagi.

Daripada jumlah itu, seramai 11,957 orang ialah mangsa banjir dan 169 lagi mangsa tanah runtuh di Miri dan Bintulu, manakala 37 mangsa kebakaran rumah panjang di Kanowit.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search