OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Hujan berterusan di Gua Musang, penduduk risau tanah runtuh

Hujan berterusan di Gua Musang, penduduk risau tanah runtuh

GUA MUSANG: Enam sekeluarga berdepan risiko tanah runtuh apabila tanah di sekitar rumah mereka mula terhakis akibat hujan berterusan di Simpang Jerek, di sini.

Mohammad Hazerel Ashraf Hazelan, 31, berkata pada kira-kira 11 malam Ahad lepas, laluan di KM35, Jalan Gua Musang-Jeli berdekatan Kampung Jerek menuju ke Jelawang telah runtuh.

Beliau berkata ketika itu hujan berterusan dari pagi sehingga menyebabkan air daripada pembetung berhampiran rumahnya melimpah ke atas jalan.

"Saya keluar melihat jalan raya KM35 sedang runtuh dan terperanjat melihat tebing tanah di tepi rumah dan bengkel telah runtuh ketika air pembetung surut.

"Saya bergegas menuju ke bengkel yang terletak di hadapan rumah dan mengalihkan beberapa peralatan yang ada," katanya kepada pemberita di Simpang Jerek, di sini.

Mohammad Hazerel Ashraf berkata runtuhan berlaku bersama bunyi kuat yang mengejutkan isteri dan anak-anaknya yang berada di dalam rumah.

"Ini kali pertama berlaku tanah terhakis sepanjang kami tinggal di sini sejak tujuh tahun lepas. Air daripada pembetung tersumbat kerana cuaca hujan dan membuatkan tanah di pinggir rumah mudah terhakis," katanya.

Menurutnya, stor penyimpanan peralatan di bengkelnya turut berisiko untuk runtuh berikutan sebahagian tanah di bawah tapaknya telah terhakis.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah Gua Musang Nik Raisnan Daud berkata pihak berwajib kini giat mengesan pergerakan tanah yang berisiko mengakibatkan runtuhan kediaman penduduk.

"Kita berharap pihak Jabatan Kerja Raya dapat melakukan pencegahan awal bagi mengelakkan tebing runtuh dan mengancam keselamatan penduduk yang tinggal di sekitar runtuhan Jalan Gua Musang-Jeli ini," katanya. – BERNAMA

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search