3 remaja lelaki ditahan pecah masuk pejabat sekolah yang dijadikan PPS
- Admin UKK
- Berita
KUALA NERUS: Tiga remaja lelaki ditahan selepas disyaki memecah masuk pejabat sebuah sekolah yang turut dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), menyebabkan kerugian berjumlah RM3,200.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin, mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa suspek yang berusia antara 14 hingga 16 tahun ditahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Kenak, Besut.
“Ketika ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut sebelum mendapatkan perintah reman di Mahkamah ke atas suspek,” katanya Ketika ditemui media selepas penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu, hari ini.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
Dalam kejadian berasingan, pihak polis turut menerima laporan mengenai kecurian sebuah motosikal yang hilang selepas diletakkan di tepi jalan.
Motosikal mangsa yang dilaporkan terselamat dari banjir itu dipercayai dicuri pada keesokan harinya.
Sementara itu, Mohd Khairi turut memberi maklumat mengenai balai polis dan pondok polis yang terjejas akibat banjir yang melanda negeri itu.
“Sebanyak satu balai polis dan tiga pondok polis terjejas, iaitu Balai Polis Kuala Jengai, Pondok Polis Pasir Raja, Pondok Polis Felda Tenang Setiu, dan Pondok Polis Tepoh Kuala Nerus,” jelasnya.