OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir: KPT beri ruang universiti laksana pembelajaran dalam talian

Banjir: KPT beri ruang universiti laksana pembelajaran dalam talian

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi ruang kepada universiti yang terjejas banjir untuk melaksanakan proses pengajian mengikut kesesuaian termasuk pembelajaran secara dalam talian.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan pagi tadi bersama Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Dr Zaini Ujang, selain menyediakan bantuan kepada pelajar terjejas.

“Jika ada kawasan yang terjejas disebabkan ini (banjir), kita sangat fleksibel untuk menyediakan ruang (pembelajaran). Kaedahnya pelbagai.

“Sekarang ni, kawasan yang terlibat (banjir) di Kelantan dan Terengganu… kita bagi fleksibiliti kepada universiti, mereka tahu apa yang perlu laksanakan,” katanya pada sidang media selepas majlis penandatanganan nota kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan KPT di sini hari ini.

Mengenai bantuan kepada pelajar terjejas akibat banjir, Zambry berkata terdapat pasukan sukarelawan Skuad Ihsan MADANI akan membantu menyalurkan bantuan terbabit selain pihak universiti juga akan mengenal pasti pelajar yang terlibat dan kebanyakan mereka berada di kampus masing-masing.

Pada 29 Nov lepas, media melaporkan sebanyak 3,029 penuntut institusi pengajian tinggi awam terjejas banjir dengan 481 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam kampus manakala 42 lagi dipindahkan ke PPS luar.

Zambry berkata pelajar yang terkesan khususnya di Pantai Timur melibatkan Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan serta politeknik.

— BERNAMA

 

 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search