TNB nafi dakwaan air Empangan Pergau akan dilepaskan
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan dakwaan kononnya air di Empangan Pergau akan dilepaskan ketika sebahagian besar Kelantan dilanda banjir.
TNB dalam kenyataan berkata paras air di Empangan Pergau sehingga ini adalah terkawal.
“TNB ingin memaklumkan mesej tular yang kononnya Empangan Pergau, Kelantan akan melepaskan air tidak benar.
“Pada masa ini, paras air di Empangan Pergau berada pada paras normal dan terkawal.
“Pengurusan stesen juga memaklumkan status terkini empangan kepada agensi kerajaan yang berkaitan dan Jawatankuasa Bencana Daerah Jeli,” katanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.
Sementara itu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam kenyataan berkata tidak semua kawasan dilanda banjir di sepanjang jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah berpunca daripada projek mega berkenaan.
MRL berkata pihaknya komited memastikan pembinaan ECRL tidak mengganggu aliran air sedia ada dan melaksanakan kerja mitigasi dalam kadar segera bagi mengurangkan risiko banjir.
“MRL mengambil maklum keadaan banjir yang berlaku di Kelantan dan Terengganu yang berpunca daripada hujan lebat. Sebagai pemilik projek ECRL, MRL akan sentiasa mengambil tanggungjawab atas sebarang kerosakan jika ia ternyata berlaku disebabkan projek ECRL.
“Sejak awal pembinaan projek, MRL mengenal pasti tempat yang terbabit dengan banjir di sepanjang jajaran, sekali gus langkah awalan sudah diambil,” menurut kenyataan itu.
Menurut MRL, reka bentuk bagi projek ECRL juga telah mengambil kira sejarah kejadian bencana alam seperti banjir melalui kajian yang dilakukan oleh perunding hidrologi dan hidraulik.
Berdasarkan informasi sejarah kejadian banjir dan data daripada agensi teknikal, MRL mendapati beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir.
“Pada masa sama, reka bentuk jajaran juga telah mengambil kira kadar hujan 100 tahun, Climate Change Factor (CCF) serta pembangunan tanah sebanyak 20 peratus yang ditetapkan JPS,” menurut kenyataan itu.
Bencana paling teruk di Rantau Panjang, antara daerah yang paling teruk dilanda banjir di Kelantan, penduduk mendakwa bencana kali ini paling teruk dan menakutkan sejak bah merah di situ pada 1967.
“Ini adalah bah paling buruk selepas lebih 50 tahun saya tinggal di Rantau Panjang, ia benar-benar menakutkan,” kata Wan Sauzi Wan Jaafar, 65.
Wan Sauzi berkata, malah
banjir kali ini lebih tragis berbanding bah merah yang pernah melanda Rantau Panjang pada 1967 ketika dia masih kecil.
Katanya, dia sekeluarga yang menetap di Tasek Damai, Kampung Dangar, di sini, sejak 22 tahun lalu, tidak pernah berpindah namun kali ini situasi berbeza
apabila bahagian dalam rumah kini dinaiki air paras 0.4 meter.
“Banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air kini turut tenggelam. Suasana menjadi huru-hara dengan penduduk yang panik seperti sudah tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Alhamdulillah, saya dan isteri, Noraini Yusof, 48, serta dua anak dibantu anggota bomba yang terpaksa masuk ke kawasan penempatan menggunakan bot dengan meredah arus deras untuk dipindahkan ke tempat selamat di Gual Tinggi, di sini,” katanya.
Namun, dua kereta miliknya iaitu Perodua Kelisa dan Honda CRV serta sebuah motosikal ditenggelami air.
Ibrahim Mat, 36, menganggap banjir kali ini luar jangkaan selain tidak menyangka kata-kata ‘orang tua’ banjir besar akan melanda adalah tepat.
“Sebelum musim tengkujuh tiba ada sahaja yang berpesan supaya penduduk terutama di kawasan berdekatan sungai berhati-hati memandangkan tahun ini genap 10 tahun selepas kejadian bah besar 2014,” katanya.
“Kami bukan sahaja terperangkap, bergelap kerana tiada elektrik malah terputus bekalan makanan. Tiada lagi harapan selain memohon doa kepada Yang Esa semoga bah segera pulih,” katanya
Di Gua Musang, tiga pekerja ladang berdepan detik cemas apabila terperangkap di dalam kawasan ladang kerana tidak sempat menyelamatkan diri.