Pasangan warga emas bina rakit dalam rumah, elak barangan dihanyut banjir
- Admin UKK
- Berita
KUALA BERANG: Pengalaman saban tahun menanggung kerugian akibat banjir membuatkan pasangan warga emas membina rakit di dalam rumah bagi menyelamatkan pelbagai barangan dan keperluan dapur daripada dihanyutkan.
Idea membina rakit di dalam rumah itu timbul berikutan kediaman mereka di Kampung Pengkalan Ajal, di sini ditenggelami banjir setiap tahun yang mengakibatkan pelbagai barangan dan perkakas rumah rosak.
Menurut Zainun Abdullah, 65, kediaman mereka yang terletak berhampiran sungai akan ditenggelami air sehingga paras lima meter setiap kali musim tengkujuh.
Katanya, situasi itu membuat dia dan suami, Mohd Sulong, 73, membina rakit di dalam rumah sejak empat tahun lalu kerana tidak tahan melihat pelbagai barangan dan perkakas rumah hilang dihanyutkan arus.
Zainun yang mesra disapa Mak berkata, dia dapat menyelamatkan semua barangan yang ada di dalam rumah walaupun rumah ditenggelami air banjir selepas membina rakit di dalam rumah.
"Sebelum ini, Mak bina rumah rakit di luar rumah bagi meletakkan pelbagai barangan termasuk motosikal yang dipindahkan sebagai persediaan sebelum banjir dan perlu diangkut untuk diletakkan dalam rumah rakit berkenaan.
"Namun, memandangkan ayah (suami) kurang sihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mak tidak larat untuk angkut barangan dari atas rumah untuk dibawa ke rumah rakit berkenaan dan disebabkan itu, timbul idea untuk membina rakit di dalam rumah.
"Mak buat dua rakit iaitu satu digunakan untuk meletak barangan berat seperti peti sejuk dan mesin basuh manakala satu lagi untuk meletakkan barangan dapur dan bahan keperluan harian seperti beras, tepung, minyak, gula dan bahan masakan dan pakaian," katanya.
Katanya, dia membuat rakit yang berukuran 1.5 meter lebar dan 2.5 meter panjang dengan bahagian bawah menggunakan sembilan tong plastik kecil yang dilekatkan dengan paku dan tali bertujuan mengapungkan rakit yang dibina untuk meletakkan barangan dapur dan pakaian.
"Bagi mengelak ia hanyut, empat penjuru rakit diikat pada kayu bumbung rumah manakala mak ubah suai katil dengan meletakkan enam tong plastik kecil yang diikat kemas pada bahagian bawah untuk meletakkan peti sejuk dan mesin basuh.
Katanya, selain rakit, dia juga menggunakan pelampung tayar lori yang diikat pada kayu bumbung rumah untuk meletakkan barangan.
Tambah Zainun lagi, dia kini dengan tunjuk ajar suaminya sedang berusaha mencari idea untuk menyelamatkan set kerusi kayu jati daripada ditenggelami air.