OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Penduduk Kampung Limau Kasturi bina 80 rumah rakit untuk hadapi banjir

Penduduk Kampung Limau Kasturi bina 80 rumah rakit untuk hadapi banjir

GUA MUSANG: Sejak hampir sedekad lalu, menjadi rutin bagi lebih 80 keluarga di Kampung Limau Kasturi, di sini untuk membina rumah rakit sebagai persediaan setiap kali musim tengkujuh tiba.

Semuanya bermula selepas banjir besar pada 2014, menyebabkan penduduk sanggup mengeluarkan belanja khusus untuk menyiapkan rumah rakit yang diperlukan bagi berdepan tragedi sama sekiranya berulang.

Malah, ada antara rumah rakit yang dibina sejak hampir 10 tahun lalu sehingga kini belum digunakan berikutan banjir yang berlaku sebelum ini tidak seburuk 2014.

Penduduk, Che Mas Abdul Latiff, 53, berkata dia mengeluarkan belanja RM7,000 bagi membina rumah rakit selepas banjir besar pada 2014 itu, namun sehingga kini belum berkesempatan menggunakannya.

"Ramai kata tahun ini akan berlaku banjir besar seperti 10 tahun lalu. Jadi dari awal saya sudah menyelenggara rumah rakit yang sudah lama dibina itu.

"Walaupun belum pernah digunakan, setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh saya akan membersihkan dan membaiki kerosakan atau menukar kayu yang reput," katanya memaklumkan rumah rakitnya dibina lebih kukuh menggunakan kerangka bumbung jenis aluminium.

Tambahnya, penduduk tidak kisah menyediakan belanja besar untuk membina rumah rakit atau membeli bot demi menyelamatkan nyawa ahli keluarga dan harta benda ketika banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, lebih 80 rumah rakit disediakan penduduk terutama yang tinggal berhampiran sungai dan di kawasan rendah dan tebing sungai.

"Boleh dikatakan setiap rumah penduduk di kawasan rendah mempunyai sebuah rumah rakit. Mereka akan simpan barangan elektrik, pakaian dan dokumen penting.

"Rumah rakit dibuat sendiri dengan kos antara RM2,500 hingga lebih RM3,000 yang ditanggung sendiri penduduk kampung.

"Setiap tahun kami akan melakukan persediaan sebelum menghadapi musim tengkujuh untuk mengurangkan kerugian dan keselamatan diri," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search