Musim tengkujuh: KPDN pastikan bekalan diesel, petrol mencukupi di kawasan berisiko banjir
- Admin UKK
- Berita
DUNGUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan bekalan diesel dan petrol di kawasan berisiko banjir ketika musim tengkujuh, mencukupi.
Timbalan menterinya, Fauziah Salleh berkata berikutan itu pihaknya sudah memberi kelulusan sementara kepada pemegang lesen runcit barangan kawalan berjadual.
Selain itu, katanya, keutamaan bekalan juga akan ditumpukan di kawasan pendalaman.
"Mereka ini (pemegang lesen runcit barangan kawalan berjadual) telah diberi kelulusan menambah had simpanan petrol sehingga 30 peratus daripada had simpanan sedia ada.
"Bekalan petrol dan diesel tambahan ini telah dihantar ke kawasan yang berisiko banjir supaya tidak berlaku gangguan bekalan ketika musim tengkujuh nanti," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pengedaran Barang Perlu, LPG (gas petroleum cecair) dan Community Drumming di Kampung Kuala Jengai, dekat sini, hari ini.
Mengenai program berkenaan, Fuziah berkata kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM225 juta kepada enam negeri iaitu Terengganu, Pahang, Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak.
Katanya, program berkenaan adalah bagi memastikan penduduk di pedalaman terpilih mempunyai akses kepada barangan keperluan sekali gus dapat mewujudkan kestabilan bekalan dan kawalan di kawasan terbabit.
"Setakat ini sebanyak 1,770 pusat penjualan telah diwujudkan di kawasan pedalaman," katanya.
Fuziah berkata program itu juga membabitkan tujuh jenis barangan iaitu beras putih, tepung gadum, gula putih bertapis kasar, minyak masak paket, LPG, diesel dan petrol.
"Segala kos pengangkutan barangan ke kawasan pendalaman yang terpilih itu akan dibiayai oleh kerajaan," katanya.