Simpanan air belum optimum walaupun hujan meningkat
- Admin UKK
- Berita
Paras simpanan air mentah di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dekat sini, belum mencapai tahap optimum persediaan bagi menghadapi musim kering akan datang, walaupun taburan hujan di kawasan tadahan air (KTA) Pulau Pinang itu meningkatkan kapasiti efektifnya sejak September lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K Pathmanathan berkata, kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam mencapai 81.5 peratus dalam tempoh 75 hari dengan taburan hujan di KTA sebanyak 772.5 milimeter (mm) sehingga kelmarin.
Menurutnya, Empangan Teluk Bahang pula capai sebanyak 51.2 peratus dalam tempoh sama dengan taburan hujan 796 mm.
“Empangan Mengkuang turut mencapai 91.3 peratus dengan taburan hujan 1,100 mm dalam tempoh itu.
“Sebanyak 2,159 juta liter kapasiti efektif Empangan Air Itam sudah pulih ke tahap selamat iaitu 81.5 peratus.
“Kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang iaitu 18,240 mililiter (ml) meningkat sejak 31 Ogos lalu dan peningkatannya melebihi paras 50 peratus,” katanya dalam kenyataan, semalam.