Metmalaysia jangka luruan monsun 5 hari bermula Selasa
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi (Metmalaysia) menjangkakan luruan monsun melanda beberapa negeri selama lima hari bermula Selasa ini.
Metmalaysia memaklumkan keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di timur Semenanjung dan timur Sabah dalam tempoh berkenaan, selain pada masa sama, angin kencang dan laut bergelora turut dijangka berlaku di Laut China Selatan.
“Amaran Hujan Berterusan (waspada) juga sudah dikeluarkan membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
“Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Condore dan Reef North turut berkuat kuasa pada tempoh yang sama.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET
Malaysia serta memuat turun aplikasi mycuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Metmalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan di
Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Amaran ribut petir dan hujan lebat turut dikeluarkan di beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, selain di Negeri Sembilan, Johor, Sabah serta Sarawak.