OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

883 sekolah di seluruh negara berisiko banjir - KP Pendidikan

883 sekolah di seluruh negara berisiko banjir - KP Pendidikan

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 883 sekolah termasuk rendah dan menengah dikenal pasti berisiko dilanda banjir di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.

Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 227 sekolah di Sarawak, Sabah (208 buah), Pahang (93 buah), Kelantan (91 buah), Terengganu (90 buah) dan Perak (45 buah).

Beliau berkata selain itu, di Selangor sebanyak 42 sekolah dikenal pasti berisiko diikuti Kedah (23 buah), Kuala Lumpur (19 buah), Johor (19 buah), Pulau Pinang (15 buah), Negeri Sembilan (10 buah) dan Melaka (sebuah).

Sehubungan dengan itu, pihaknya telah mengambil langkah awal untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula bulan ini hingga awal tahun depan.

"Pihak Kementerian Pendidikan (KPM) telah membuat pelancaran kesiapsiagaan menghadapi MTL 2024/2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Garuda, Kuantan, Pahang pada 28 Oktober lepas.

"Kita sudah bersedia sepenuhnya dengan mengaktifkan jawatankuasa sedia ada pada peringkat negeri, daerah dan kebangsaan. Di Terengganu sendiri sebanyak 80 sekolah bersedia untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) jika berlaku banjir," katanya selepas merasmikan Majlis Sekalung Budi Sejunjung Kasih Kenangan Abadi Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu 2024 di sini hari ini.

Azman berkata, pihaknya juga telah meningkatkan kerjasama dengan agensi lain dan menambah penglibatan warga KPM sebagai sukarelawan banjir.

"KPM turut menyediakan perkhidmatan kauseling menerusi Smart Support Team (SST) dan Academic Suppport (AST) bagi membantu dari aspek sokongan moral. Kit sukarelawan juga disediakan untuk kerja-kerja pembersihan pascabanjir," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Sekalung Budi Sejunjung Kasih Kenangan Abadi diadakan bagi meraikan 929 anggota perkhidmatan awam KPM yang bakal dan telah bersara tahun lepas dan tahun ini. - Bernama

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search