Lapor JPS jika siren amaran bermasalah
- Admin UKK
- Berita
Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia (JPS) meminta orang ramai menjaga 500 unit siren amaran banjir yang sudah dipasang di seluruh negara bagi memantau situasi bencana itu.
Timbalan Pengarah (Operasi) Pusat Ramalan Dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS Ir Dr Salwa Ramli berkata, siren amaran banjir itu memberi amaran secara lokal kepada penduduk setempat.
“Siren itu berbunyi berdasarkan kepada status aras air sungai di kawasan terbabit. Ia lebih kepada kawasan pengumuman setempat yang boleh didengari lebih kurang dalam jarak satu hingga dua kilometer (km).
“Cuma kita sarankan kepada masyarakat di kampung untuk turut sama menjaga aset itu sebab ada yang tidak berfungsi akibat perbuatan vandalisme termasuk hilang. Sampah sarap tersangkut juga boleh menjejaskan fungsinya,” katanya selepas Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL)2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (Smart) Pulau Meranti, Puchong di sini, semalam.
Salwa berkata, pihaknya ada membuat pertemuan dengan ketua kampung bagi mendapatkan kerjasama.
“Sekiranya melihat alat itu mengalami masalah, terus laporkan kepada JPS daerah bagi tindakan susulan.
“Kami juga dalam perancangan untuk menambah siren terbabit terutamanya untuk kawasan yang tidak ada model ramalan banjirr,” katanya.
Beliau berkata, antara jenis banjir adalah banjir Monsun Timur Laut (MTL), banjir kilat, banjir pantai dan banjir termenung.
“Alat siren ini memang akan ada yang rosak, tetapi pihak kami sentiasa menyelenggara bagi menghadapi persiapan banjir.
“Saya juga ingin mempromosikan laman sesawang Public Info Banjir yang dibangunkan sendiri oleh JPS iaitu https://publicinfobanjir.water.gov.my/,” katanya.