OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

UUM santuni pelajar jadi mangsa banjir

UUM santuni pelajar jadi mangsa banjir

SINTOK – Ribut dan banjir yang berlaku baru-baru ini, amat menyedihkan sehingga menyebabkan ramai kehilangan harta benda bak kata pepatah, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Prihatin dengan tragedi yang berlaku, Universiti Utara Malaysia (UUM) menyantuni mangsa bencana di beberapa kawasan terjejas di Kampung Padang Kabu, Pendang dan Kampung Sena, Sik, Kedah.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pihaknya menziarah rumah pelajar yang rosak teruk termasuk bumbung tercabut selepas dilanda ribut.

“Kita bersimpati pada pelajar dan keluarga yang ditimpa ujian, rumahnya mengalami kemusnahan bumbung akibat dilanda ribut yang berlaku mujurlah kejadian ini tidak menyebabkan kecederaan.

 “Apabila mendapat maklumat yang menyedihkan ini kita tampil memberikan sokongan dan bantuan sedikit sebanyak boleh membantu meringan beban.

“Dalam usaha menyantuni mangsa bencana, UUM menghulurkan bantuan dalam bentuk barangan keperluan asas dan kelengkapan harian seperti beras, kicap serta makanan,” ujarnya.

Menurutnya, usaha ini sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung mangsa serta berharap misi bantuan ini akan mendekatkan lagi UUM dengan masyarakat.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat, Muhammad Haikal Che Johari menceritakan detik cemas pada jam 3 petang, cuaca mendung disertai hujan dan angin kencang.

“Apa yang berlaku, kejadian ribut yang tidak disangka dengan bunyi yang kuat sehingga menerbangkan bumbung rumah.

“Rumah saya rosak teruk selepas dilanda ribut dan kami terpaksa memasang kanvas dengan mengikat tali di pokok.

“Rumah kami tiada bumbung selama tiga hari, jadi keadaan cukup mencemaskan kerana hujan masih turun disertai angin, kami takut kanvas diterbangkan angin,” ujarnya.

Sementara itu Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Operasi, Muhammad Alif Aiman Azizan teruja dengan kunjungan yang tidak disangka daripada pihak UUM terutamanya Naib Canselor.

Muhammad Alif yang menetap di Kampung Padang Kabu, Pendang bersyukur kerana mendapat perhatian daripada pihak UUM yang sudi datang ke rumahnya memberi bantuan.

“Alhamdulillah, terkejut dengan kunjungan Naib Canselor UUM yang tidak disangka-sangka dan seronok dapat bantuan, terima kasih UUM,” ucapnya.

Ujarnya, sumbangan yang disampaikan berbentuk barangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak, bawang, ayam, ikan, sabun mandi, syampu dan ubat gigi.

Mengulas lanjut katanya, hampir dua bulan hujan turun menyebabkan ayah tidak dapat bekerja disebabkan kebun getah ditenggelami air. – MalaysiaGazette

“Banjir berlaku ketika saya dan keluarga berada di rumah. Hujan turun tiga hari berturut-turut. Hujan lebat menyebabkan sungai di belakang rumah melimpah dan air mula naik sedikit demi sedikit sehingga masuk ke dalam rumah.

“Belakang rumah ada sungai jadi air naik bermula di kawasan tersebut malah penoreh getah juga tidak dapat bekerja kerana kebun getah dipenuhi air,” ujarnya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search