Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 3,503 mangsa
- Admin UKK
- Berita
ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 3,503 orang daripada 1,141 keluarga yang ditempatkan 23 di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah setakat jam 8 pagi hari ini.
Jumlah itu dilaporkan meningkat berbanding 2,771 mangsa daripada 924 keluarga setakat jam 8 malam tadi.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa yang paling ramai iaitu 1,324 orang daripada 459 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS.
“Daerah Kota Setar pula mencatatkan seramai 1,197 mangsa daripada 373 keluarga di lapan PPS manakala Pokok Sena seramai 549 mangsa daripada 195 keluarga di empat PPS.
“Sementara itu, daerah Pendang pula mencatatkan seramai 433 mangsa daripada 114 keluarga di dua PPS setakat jam 8 malam ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, laman Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, lima sungai di negeri ini terus menunjukkan bacaan melepasi paras bahaya setakat jam 7.30 pagi hari ini.
Kesemua sungai tersebut adalah di tiga daerah iaitu dua di Kota Setar iaitu di Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Sungai Anak Bukit di Taman Aman manakala dua di Kubang Pasu iaitu di Sungai Padang Terap di Kepala Batas serta Sungai Bata di Kampung Bata.
Di daerah Pendang pula, Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang turut melepasi bacaan paras bahaya setakat ini.