OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pasukan Malbatt di selatan Lubnan selamat

Pasukan Malbatt di selatan Lubnan selamat

Kuala Lumpur: Pegawai dan anggota Malaysia Battalion (Malbatt) 850-11 yang ketika ini berada di Lubnan, disahkan selamat dan tiada kemalangan jiwa setakat ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, aset ketenteraan negara juga dilaporkan tidak mengalami kerosakan susulan serangan darat yang dilancarkan Israel ke atas negara Timur Tengah itu semalam.

Menurutnya, sebarang keputusan berhubung penarikan pasukan Malbatt 850-11 dari negara itu bergantung kepada kelulusan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil).

"Kesemua pasukan di bawah Unifil termasuk Malbatt 850-11 yang beroperasi di selatan Lubnan diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik.

"Semua pasukan terbabit diarahkan supaya kekal di penempatan masing-masing dan Unifil sudah mengaktifkan perlindungan dalam kubu (bunker drill) mengikut prosedur yang ditetapkan sehingga keadaan terkawal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penarikan pegawai atau anggota dari negara itu akan dilakukan berdasarkan kelulusan Unifil berdasarkan tahap keselamatan dan ancaman di kawasan operasi.

Katanya, Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memantau perkembangan terkini membabitkan pasukan pengaman negara di Lubnan.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search