Tanah runtuh Bukit Wawasan: kawasan terjejas diisytihar selama didiami
- Admin UKK
- Berita
PUCHONG: Kawasan kejadian tanah runtuh pada 16 Disember tahun lalu di Taman Wawasan, di sini sudah boleh kembali didiami oleh penghuni sembilan kediaman yang terjejas berikutan insiden itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed selepas lawatan rasmi bersama-sama pelbagai agensi berkaitan pada 28 Oktober lalu.
Beliau berkata, keputusan mengisytiharkan Taman Wawasan sebagai bebas bencana dan insiden tanah runtuh dibuat berdasarkan pandangan dan nasihat yang diterima daripada agensi terbabit selain mengambil kira laporan teknikal daripada Bahagian Kejuruteraan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
"Saya mengisytiharkan kawasan Jalan Wawasan 3/9, Taman Wawasan, Puchong bebas bencana tanah runtuh dan semua keluarga terlibat boleh berpindah masuk ke kediaman masing-masing berkuat kuasa hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata, kos keseluruhan kerja pembaikan kawasan tanah runtuh itu berjumlah RM12.12 juta membabitkan dua fasa utama iaitu penstabilan sementara dan penstabilan kekal, bermula dari 17 Dis 2023 hingga 24 Okt 2024.
"Pada 15 Mei 2024, kerja penstabilan kekal telah bermula dan mengambil masa lebih kurang enam bulan... siap sepenuhnya dalam tempoh kurang dari satu tahun untuk kawasan runtuhan yang besar, yang turut melibatkan pembinaan 'gabion wall' dan penstabilan semula cerun," kata Sze Han yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor pada sidang media perkara berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini terdapat empat keluarga memilih untuk tinggal sementara di kuarters MBSJ manakala lima lagi memilih menetap bersama saudara dan kini semua penghuni sembilan rumah boleh kembali ke kediaman mereka.
"Saya sudah dimaklumkan pada masa ini semua penduduk sedang sibuk membersihkan kediaman mereka untuk berpindah kembali dalam masa terdekat. Kediaman mereka dijamin selamat dan boleh kembali bila-bila masa bermula hari ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSJ Dr Mohd Ariffuddin Kamari berkata, untuk kerja penyelenggaraan dan penyiasatan di tapak runtuhan, pihak MBSJ sudah mengarahkan pemaju dan pemilik tanah memeriksa kesemua keadaan.
"Pihak MBSJ juga mengarahkan pemaju dan pemilik tanah untuk menyemak parit utama serta semakan berkala di sepanjang jajaran parit utama dari Tasik Wawasan ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan ia masih lagi kukuh," katanya.
Pada 16 Disember 2023, kejadian tanah runtuh membabitkan kawasan longkang monsun sedia ada dan cerun di kawasan tersebut berlaku susulan intensiti hujan yang sangat tinggi, 95.5 milimeter (mm).
Insiden sudah membabitkan runtuhan seluas 0.872 hektar dan mengakibatkan sembilan rumah terjejas dengan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna MBSJ, Laman Puteri 3, di sini.
Sebanyak empat kenderaan turut tertimbus dalam runtuhan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - BERNAMA