Hujan lebat, 200,000 penduduk Jepun digesa berpindah
- Admin UKK
- Berita
TOKYO: Hampir 200,000 penduduk di Jepun digesa berpindah hari ini susulan memberi amaran risiko tanah runtuh dan banjir akibat taufan yang melanda negara itu.
Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan bahagian barat Jepun dilanda hujan lebat berserta ribut petir terkena tempias saki baki Taufan Kong-rey.
Sehubungan itu, pihak berkuasa di bandar Matsuyama mengeluarkan amaran tahap tertinggi, lantas menasihati 189,552 penduduk di 10 daerah agar berpindah untuk keselamatan mereka.
Terdapat ramalan sebelum ini yang menjangkakan tanah runtuh dan banjir mungkin menjejaskan kawasan barat Jepun hari ini dan timur Jepun esok.
Taufan Kong-rey yang melanda Taiwan Khamis lalu dianggap bencana terbesar pernah membadai negara itu dalam beberapa dekad.
Ia meragut sekurang-kurangnya dua nyawa termasuk memutuskan bekalan elektrik untuk kegunaan puluhan ribu kediaman.
Menurut saintis, perubahan iklim berpunca tangan manusia dilihat menyumbang kepada peningkatan risiko dicetuskan hujan lebat kerana atmosfera yang lebih hangat menyimpan lebih banyak air. - AFP