Kuala Lumpur: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah melakukan persiapan sepanjang tahun bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula esok.
Ketua Pengarah Nadma Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, persiapan itu membabitkan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan setiap lapisan masyarakat.
"Ia (persiapan) dilakukan melalui mesyuarat-mesyuarat penyelarasan, latihan dan peruntukan berkaitan dengan semua pihak terbabit.
"Dari segi persediaan, kami memberi tumpuan kepada negeri-negeri yang dijangka akan mengalami banjir semasa MTL iaitu negeri-negeri Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.
"Bagaimanapun, persiapan juga sudah dilakukan untuk menghadapi banjir monsun ini di seluruh negara," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) semasa fasa awal MTL dari November hingga Disember ini, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Pada Januari hingga Februari 2025 pula, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku episod hujan lebat adalah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Terdahulu, Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, MTL atau lebih dikenali musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula esok dan berterusan sehingga Mac 2025.
Menurutnya, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku sepanjang tempoh berkenaan dengan fasa awal MTL dari November hingga Disember ini dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Katanya, dari Januari hingga Februari 2025 pula, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku episod hujan lebat adalah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.