OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Operasi pembenihan awan tiga hari di Perak, Kedah

Operasi pembenihan awan tiga hari di Perak, Kedah

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan akan melaksanakan operasi pembenihan awan di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut mulai hari ini.

Beliau berkata, operasi itu bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah untuk tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.

Merujuk data Suruhanjaya

Perkhidmatan Air Negara kelmarin, Ahmad Zahid berkata, peratus takungan semasa Empangan Muda ialah 9.44 peratus manakala Empangan Bukit Merah, 15.25 peratus.

“Ini satu daripada usaha kerajaan menangani impak fenomena cuaca panas dan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, operasi itu dilaksanakan atas permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah.

Pelaksanaan adalah menerusi penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,

Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ahmad Zahid berkata, bekalan air dari Empangan Muda dialirkan ke Empangan Pedu, Kedah bagi keperluan domestik, industri dan pengairan padi.

Beliau berkata, tanaman padi Kawasan Muda merupakan jelapang padi terbesar di Malaysia dengan keluasan 100,641.19 hektar terdiri daripada 81,606.66 hektar di Kedah dan 19,034.53 hektar di Perlis.

Sementara kawasan sawah di Kerian, Perak yang menerima air dari Empangan Bukit Merah pula merupakan jelapang padi ketiga terbesar negara dengan keluasan 20,326 hektar.

“Kekurangan hujan mengakibatkan takungan simpanan terus menyusut, seterusnya tidak dapat menampung keperluan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search