Sesi Latihan Pemasangan dan Penyimpanan Jambatan Keluli Bermodular di JKR Putatan, Sabah
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
SESI LATIHAN PEMASANGAN DAN PENYIMPANAN JAMBATAN KELULI BERMODULAR (BAILEY BRIDGE) DI JKR PUTATAN, SABAH | 13 Januari 2025
Telah berlangsung Majlis Perasmian Sesi Latihan Pemasangan dan Penyimpanan Jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) yang dirasmikan oleh YBrs. Tuan Zamakhshari Bin Hanipah, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) NADMA. Turut hadir bersama ialah Encik Mohd Khairi bin Abd Ghani, Pengarah Seksyen Logistik NADMA merangkap Pengarah Program; Tuan Mohd Rizan Abran, Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (HEDNP) Negeri Sabah; serta Puan Diana Corazon Blikau, wakil kepada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Sesi latihan ini dijadualkan berlangsung selama tujuh (7) hari, bermula 13 hingga 19 Januari 2025, bertempat di Pusat Penyimpanan Komponen Bailey Bridge, JKR Putatan, Sabah. Seramai 76 peserta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengambil bahagian bagi memastikan penglibatan yang lebih menyeluruh daripada kedua-dua negeri untuk memperkukuhkan kefahaman dan keupayaan teknikal dalam pemasangan serta penyimpanan Jambatan Bailey.
Tujuan pelaksanaan latihan ini adalah untuk memberi penjelasan yang terperinci mengenai prosedur dan teknik yang betul dalam pemasangan, peleraian dan penyimpanan Jambatan Bailey kepada anggota yang terlibat. Selain itu, untuk memastikan mereka memiliki pemahaman yang mendalam dan kemahiran yang diperlukan ketika melaksanakan tugas pemasangan di lapangan agar setiap anggota dapat menjalankan pemasangan dengan tepat mengikut piawaian keselamatan dan mengurangkan kemungkinan berlakunya kesilapan yang boleh menjejaskan kualiti dan keselamatan jambatan yang dipasang.