1. Adakah saya dibenarkan untuk berkongsi bilik?
PUS boleh memohon untuk tinggal sebilik namun tertakluk kepada kebenaran Pegawai Kesihatan KKM.
Komposisi maksimum penghuni bilik yang dibenarkan adalah dua (2) dewasa (suami/isteri) dan satu (1) orang kanak-kanak di bawah 12 tahun (jumlah: 3 orang).
Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM150.00 untuk individu pertama, RM50.00 untuk individu kedua dan juga RM50.00 untuk individu ketiga. Kanak-kanak berumur di bawah 6 tahun adalah percuma.
2. Apakah terdapat pengecualian terhadap penempatan satu (1) bilik seorang (1) PUS?
Permohonan untuk menempatkan lebih daripada seorang PUS dalam satu (1) bilik hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Pengurusan Stesen Kuarantin, sebelum dibenarkan dan diluluskan oleh pihak KKM hanya bagi kes-kes berikut;
- Suami/Isteri;
- Penjagaan kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ke bawah yang berstatus PUS;
- Penjagaan ahli keluarga Orang Kurang Upaya (OKU) berstatus PUS;
- PUS dengan masalah kesihatan yang memerlukan bantuan/ pemantauan pihak lain; atau
- Lain-lain sebab yang munasabah;
3. Adakah makanan dan keperluan lain disediakan di Stesen Kuarantin?
Makanan akan disediakan oleh stesen kuarantin sebanyak tiga (3) kali sehari (sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam).
4. Adakah wifi disediakan di stesen kuarantin?
Kerajaan sebolehnya akan menyediakan wi-fi di semua stesen kuarantin tertakluk kepada kemudahan fasiliti yang disediakan di stesen kuarantin berkenaan.
5. Adakah waris boleh menghantar keperluan ke Stesen Kuarantin?
Tidak digalakkan. Hanya dengan kebenaran petugas bagi barang perlu sahaja. Petugas berhak untuk menolak penghantaran tersebut.
Walau bagaimanapun, proses penghantaran adalah tertakluk kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.
6. Adakah saya boleh menginap di hotel pilihan sendiri sepanjang tempoh kuarantin?
Tidak. Hanya di Stesen Kuarantin yang ditetapkan oleh Kerajaan.
7. Adakah pengangkutan disediakan untuk ke Stesen Kuarantin?
Ya, pengangkutan dari pintu masuk Antarabangsa Malaysia ke Stesen Kuarantin akan disediakan oleh Kerajaan.
8. Adakah stesen kuarantin boleh menerima pelawat?
Tidak.
9. Adakah kami akan berada di sini sepanjang tempoh Kuarantin?
Ya. PUS perlu melengkapkan tempoh kuarantin 14 hari (atau mana-mana tempoh yang ditetapkan oleh KKM) di stesen kuarantin yang ditempatkan.
10. Sekiranya lapar di luar waktu jadual makan, apakah yang boleh PUS lakukan?
PUS boleh membuat pesanan bilik (room service) dan ditanggung sendiri oleh PUS. Khidmat penghantaran dari luar seperti Grab Food, Food Panda dan lain-lain adalah tidak dibenarkan.
11. Adakah terdapat pemeriksaan kesihatan berkala sepanjang tempoh kuarantin?
Ya. Urusan saringan kesihatan akan diselaraskan oleh Petugas Perubatan KKM.
12. Sekiranya PUS menunjukkan simptom, apa yang boleh dilakukan?
PUS boleh menghubungi petugas front desk di stesen kuarantin atau Petugas APM bagi memaklumkan sebarang isu berkaitan kesihatan untuk tindakan segera oleh Petugas KKM.
13. Adakah stesen kuarantin menyediakan perkhidmatan dobi/laundry?
Bagi stesen kuarantin yang menyediakan perkhidmatan dobi/laundry, PUS boleh menggunakan perkhidmatan tersebut dengan kos yang ditanggung sendiri.
14. Apakah Do’s and Don’t’s ketika di pusat Kuarantin?
Tidak dibenarkan keluar dari bilik penginapan.
Tidak dibenarkan merokok.
Tidak dibenarkan berkumpul.
Basuh tangan dengan kerap dan amalkan kebersihan optimum.
Sebarang urusan/pertanyaan hanya melalui saluran yang disediakan seperti telefon/Aplikasi WhatsAapp/Telegram/SMS.
15. Bolehkah kami membeli barangan dari luar?
Sebarang pesanan luar adalah atas budi bicara petugas stesen kuarantin dengan kos ditanggung sendiri oleh PUS. Walau bagaimanapun, pesanan makanan daripada luar adalah tidak dibenarkan.
16. Adakah kami dimestikan untuk berada dalam bilik sepanjang tempoh Kuarantin?
Ya. PUS tidak dibenarkan keluar dari bilik penginapan.